Anda di sini

Rokok seludup digempur

Advertisement
 Anggota PPM Wilayah 5 memeriksa gerai yang menjual rokok seludup.
GELEDAH: Anggota PPM Wilayah 5 memeriksa gerai yang menjual rokok seludup.

SIBU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas 100,532 batang rokok tanpa cukai bernilai RM60,321 dalam satu serbuan di Pasar Sentral di sini, petang semalam.

Operasi serbuan yang dilancar pada jam 1.30 petang itu diketuai Pegawai Operasi Risik ASP Pangji Eseng.

Rampasan itu adalah hasil risikan Unit Risikan PPM Wilayah 5 yang membuat intipan sebelum mendapati dua pemilik gerai yang menjual barangan runcit turut menjalankan kegiatan menjual rokok seludup atau tanpa cukai.

Menurut satu kenyataan PPM Wilayah 5 semalam, dalam serbuan Ops Landai tersebut, polis menahan dua individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 60-an.

“Kedua-dua orang kena tangkap (OKT) didapati sedang menunggu pelanggan di gerai masing-masing.

“Pemeriksaan lanjut pihak polis mendapati dua penjaja barangan runcit terbabit didapati terlibat menjual rokok seludup,” kata kenyataan itu.

Menurutnya lagi, berdasarkan siasatan awal PPM Wilayah 5 mengesyaki rokok tersebut diseludup dari negara jiran sama ada melalui jalan darat atau laut dan Unit Risikan Marin masih dalam mengumpul maklumat berkaitan.

Kes akan diserahkan kepada pihak kastam dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM100,000 atau minimum enam bulan penjara, katanya.

“Kedua-dua individu ditahan bersama rokok seludup yang dirampas akan diserahkan kepada pihak Kastam Cawangan Sibu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” kata kenyataan itu lagi.

PPM Wilayah 5 akan terus menggempur aktiviti dan kegiatan rokok seludup di rantau ini.

Pada Ahad lalu, PPM dari cawangan Kuching, Bintulu dan Miri juga berjaya merampas sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenis dengan anggaran rampasan bernilai RM15,000.

  • oleh
  • Advertisement