Anda di sini

Ops Perisai Akidah kini masuk modul kedua

Advertisement
 Kamaruddin memeriksa kawalan perbarisan yang terdiri daripada 12 pegawai dan 106 anggota diketuai oleh Ketua Perbarisan Kagat Leftenan Kolonel Nadzri Musnman dan Mejar Wan Suhaimi Wan Abd Rahman pada Sambutan Hari Ulang Tahun KAGAT Ke-34 di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Port Dickson semalam. — Gambar Bernama
PERIKSA: Kamaruddin memeriksa kawalan perbarisan yang terdiri daripada 12 pegawai dan 106 anggota diketuai oleh Ketua Perbarisan Kagat Leftenan Kolonel Nadzri Musnman dan Mejar Wan Suhaimi Wan Abd Rahman pada Sambutan Hari Ulang Tahun KAGAT Ke-34 di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Port Dickson semalam. — Gambar Bernama

PORT DICKSON: Ops Perisai Akidah kini memasuki modul kedua, khas untuk memberi penjelasan kepada pegawai dan anggota tentera tentang penyelewengan agama Islam dan juga ajaran sesat yang terdapat di negara ini, kata Pengerusi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Mej Jen Datuk Kamaruddin Mamat.

Beliau berkata, Ops Perisai Akidah yang diperkenalkan pada tahun 2017 bertujuan membendung pegawai dan anggota tentera beragama Islam daripada terlibat dengan ajaran sesat dan ajaran yang menyeleweng.

“Sehingga kini seramai 30,000 pegawai dan anggota tentera telah diberi penerangan dan penjelasan mengenai ajaran sesat dan ajaran menyeleweng tersebut. Dalam perkara ini, KAGAT bekerjasama dengan Kor Risik Diraja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sebelum ini, kita ada Ops Perisai Wira iaitu penjelasan mengenai bagaimana silap dan salahnya konsep Islamic State (IS) atau Daesh itu. Program ini telah selesai dan alhamdulillah, sempat kita kawal,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Hari Ulang Tahun KAGAT ke-34 di Institut Latihan dan Kefahaman Islam ATM (ILMI) di sini, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Kagat (Dasar dan Pengurusan) Briged Jeneral Datuk Mustafa Abdul Manap dan Timbalan Pengerusi KAGAT (Operasi dan Pembangunan Insan) Briged Jeneral Datuk Nawawi Daud.

Mengulas lanjut, beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memperkenalkan program Pendidikan Islam Fardhu Ain (PIFA) untuk kenaikan pangkat anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

“Kita ada satu dasar dalam ATM iaitu dasar pembinaan mental dan kerohanian Islam ATM dan dasar ini diluluskan pada September 1991. Maknanya setiap anggota tentera yang beragama Islam mesti mengikuti program agama Islam 857 jam dalam setahun.

“Bagi anggota bukan Islam pula mereka ada program lain iaitu dasar pembinaan moral dan etika dan mereka juga mesti melalui jam-jam tertentu. Anggota LLP ini mesti lulus program ini untuk kenaikan pangkat. Program ini telah dikuatkuasakan pada 2012 dan anggota LLP wajib lulus untuk kenaikan pangkat,” katanya.

Katanya, KAGAT menempatkan pegawainya di tiga cabang ketenteraan utama iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia dan mereka mempunyai program mereka tersendiri, sama ada berhubung dengan Jabatan Agama Islam negeri atau JAKIM.

Katanya program yang dilaksanakan di pasukan masing-masing adalah bagi mempertingkatkan kesedaran agama Islam dalam kalangan pegawai dan anggota tentera. — Bernama

Advertisement