Anda di sini

Dua blok rumah panjang Uma Bawang terbakar

Advertisement
 Keadaan api yang memusnahkan dua blok rumah panjang berkenaan, sejurus berjaya dikawal.
RANAP: Keadaan api yang memusnahkan dua blok rumah panjang berkenaan, sejurus berjaya dikawal.

BINTULU: Dua blok rumah panjang yang dihuni 407 orang daripada 42 keluarga di Uma Bawang, Skim Penempatan Semula Sungai Asap di sini, musnah dalam kebakaran sekitar jam 6 petang kelmarin.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Mohamad Meramit dalam kenyataan media semalam berkata, 11 anggotanya bergerak ke lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah FRT, EMRS dan sebuah pacuan empat roda (4WD) sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 6.03 petang.

“Pasukan bomba mengambil masa perjalanan dua jam untuk sampai ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Bintulu dengan menggunakan Jalan Bintulu-Bakun dan sampai di lokasi kejadian pada jam 8.44 malam,” ujarnya.

Beliau berkata, sejurus sampai di lokasi kejadian, api sudah hampir memusnahkan keseluruhan rumah panjang berkenaan termasuk sebuah gereja di hadapan rumah panjang.

Katanya, pihak bomba sejurus itu memulakan kerja-kerja memadam kebakaran yang sebelum itu dijalankan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Uma Daro bagi mengelakkan api merebak ke kawasan berdekatan.

Beliau dalam masa sama melahirkan rasa penghargaan kepada PBS Uma Daro kerana bertindak pantas ke lokasi kejadian, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada jam 7 malam.

“Pasukan bomba dan PBS Uma Daro kemudiannya berganding tenaga memadam kebakaran yang berlaku, dan api berjaya dipadam sepenuhnya sekitar jam 2.21 pagi,” ujarnya.

Katanya, dalam kebakaran itu turut menyebabkan seorang wanita warga emas berumur 70 tahun melecur pada bahagian badannya dan telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sungai Asap bagi diberikan rawatan lanjut.

Mujurlah katanya, insiden ini tidak mendatangkan kemalangan jiwa kerana semua penduduk berjaya lari menyelamatkan diri.

Katanya, punca kebakaran serta anggaran kerugian belum dapat dipastikan kerana masih lagi dalam siasatan.

Mohamad berkata, semua mangsa kini tinggal sementara di rumah sanak saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba.

  • oleh
  • Advertisement