Anda di sini

UiTM Sarawak lancar Kad Debit-I Bank Rakyat Alumni pertama di Malaysia

Advertisement
Khairil (kiri) menemani Zarinah (dua kiri) dan Jamil melancarkan Kad Debit-I Bank Rakyat Alumni.
Khairil (kiri) menemani Zarinah (dua kiri) dan Jamil melancarkan Kad Debit-I Bank Rakyat Alumni.

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak menjadi institut pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia melancarkan Kad Debit-I Bank Rakyat Alumni.

Rektor UiTM Sarawak Prof Dato Dr Jamil Hamali berkata, program itu merupakan kolaborasi antara UiTM Sarawak dengan Bank Rakyat untuk mencapai 36,000 alumninya.

"Ini akan dapat memanfaatkan alumni kita yang ada supaya kita dapat mengumpul dana dan juga mengadakan aktiviti untuk alumni yang kita panggil 'payback time'.

"Malah, ini bukan sahaja dapat mencapai 36,000 alumni kita sebelum ini tetapi juga pendeposit Bank Rakyat sendiri yang ada kira-kira 4 juta seluruh negara boleh kita capai jika mereka ingin membantu universiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-90 dan pelancaran Kad Debit-I Bank Rakyat Alumni di universiti itu, Kampus Samarahan di sini hari ini.

Jamil menambah, platform bersama Bank Rakyat itu juga memudahkan UiTM memperolehi data alumni mereka dan pada masa sama alumni yang menjadi pendeposit dapat manfaat daripada aktiviti yang ditawarkan oleh Bank Rakyat sendiri.

"Platform ini memberi peluang untuk alumni kita menyumbang balik kepada universiti dalam bentuk wakaf, sedekah dan sebagainya bagi membantu pelajar lain di sini," katanya. 

Sementara itu, Ketua Perniagaan Kad dan Bayaran Bank Rakyat Khairil Hamzah berkata, pelancaran kad debit tersebut merupakan yang pertama di Malaysia khas untuk alumni.

"Kami puji langkah yang diambil oleh pihak UiTM yang mana Bank Rakyat dapat menyediakan platform yang membolehkan alumni berbakti dan menderma semula kepada universiti.

"Kita tidak meletakkan sasaran untuk alumni dan mereka boleh menderma mengikut kehendak mereka dan kami amat mengalu-alukannya," ujarnya sambil memberitahu minimum deposit hanya RM20 sahaja untuk mendapatkan kad debit tersebut.

Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Bank Rakyat Mohamad Shiblie Abg Sapuan berkata, ini adalah kerjasama strategik alumni yang mana Bank Rakyat mempunyai kira-kira 147 rangkaian seluruh Malaysia dengan sistem perbankan yang kuat dan kukuh.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pro Canselor UiTM Tan Sri Zarinah Anwar. 

  • oleh
  • Advertisement