Anda di sini

Taekwondo seni mempertahankan diri unik

Advertisement
 Tiong (tengah) melakukan perasmian Kejohanan Taekwondo Terbuka Antara Sekolah Malaysia Timur Ke-7 di Sibu kelmarin.
RASMI: Tiong (tengah) melakukan perasmian Kejohanan Taekwondo Terbuka Antara Sekolah Malaysia Timur Ke-7 di Sibu kelmarin.

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King menggesa masyarakat tempatan supaya melibatkan diri dalam sukan seperti taekwondo.

Beliau berkata, taekwondo sentiasa berkembang menjadi seni mempertahankan diri yang unik dengan aplikasi praktikal untuk mempertahankan diri dan pembangunan kecergasan.

“Oleh itu, penting bagi kita melibatkan diri dan secara tidak langsung membantu mempromosikan sukan tersebut bagi melahirkan ramai atlet cemerlang di negara ini,” katanya.

Tiong berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Kejohanan Taekwondo Terbuka Antara Sekolah Malaysia Timur Ke-7 yang diadakan di Sekolah Menengah (SM) Tinggi Katolik di sini, petang kelmarin.

Lebih 500 peserta dari seluruh negeri termasuk dua pasukan masing-masing dari Pulau Pinang dan Labuan turut menyertai pertandingan tersebut.

Hadir sama Presiden Persatuan Taekwondo Malaysia Dato Sri Nik Aswan Nik Abdul Aziz, Setiausaha Agung Persatuan Taekwondo Malaysia Eddy Tuan, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan Kementerian Pendidikan, Mohd Rashid Mean dan Presiden Persekutuan Taekwondo Sarawak, Dr Henry Toh.

Menurutnya, taekwondo adalah seni mempertahankan diri tradisional untuk mempertahankan diri.

“Ia adalah satu acara sukan dipertandingkan pada Sukan Olimpik,” katanya sambil menambah sukan itu agak popular dan menerima sambutan menggalakkan di Malaysia.

Jelasnya, semangat dan motto taekwondo adalah tentang disiplin diri, kerendahan hati, rasa hormat dan ketekunan, menjadi pembela keadilan dan mewujudkan keharmonian masyarakat.

Beliau berkata, seni mempertahankan diri seperti taekwondo, karate dan wushu menekankan perkembangan kedua-dua fizikal dan mental.

“Ini mengingatkan saya sukan tinju di negara barat dengan satu-satunya matlamat mengalahkan lawan dengan cara ganas dan kejam,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu.

Dalam pengertian itu, seni mempertahankan diri mempunyai budaya lebih banyak berbanding dengan rakan di negara barat sentiasa menekankan kemanusiaan dan hak asasi manusia tetapi sebaliknya menggunakan teknik pertempuran ganas dan kejam.

Terdahulu, Dr Toh merakamkan penghargaan kepada semua peserta mengambil bahagian pada kejohanan itu.

“Penyertaan ramai peserta menjadikan kejohanan ini berjaya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement