Anda di sini

Empat bot nelayan ditahan jalankan aktiviti menunda udang

Advertisement
SALAH sebuah kapal nelayan yang ditahan PPM Sandakan kerana menunda udang di perairan Kuala Kinabatangan Besar.
SALAH sebuah kapal nelayan yang ditahan PPM Sandakan kerana menunda udang di perairan Kuala Kinabatangan Besar.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menahan empat kapal nelayan selepas dikesan menjalankan aktiviti menunda udang di perairan Kuala Kinabatangan Besar, iaitu kawasan kurang dua batu nautika dari pesisir pantai dekat sini pada jam antara 9.30 hingga 10.30 pagi Ahad.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Hj Mohamad Pajeri Ali berkata, menerusi 'Ops Pensura' yang dijalankan kapal-kapal nelayan terbabit didapati sedang menjalankan aktiviti memukat tunda di kawasan kurang 2 batu nautika dari pantai.

Menurutnya, semasa botronda RH54 PPM Sandakan sedang menjalankan tugas operasi di perairan Kinabatangan telah berjaya mengesan kapal-kapal nelayan terbabit yang sedang leka menjalankan aktiviti menunda.

"Dua juragan warga tempatan, seorang penduduk sementara dan seorang lagi juragan memiliki pasport serta tiga anak kapal berumur antara 33-54 tahun ditahan bersama empat kapal tunda berkenaan. Turut ditahan adalah hasil tangkapan iaitu lebih kurang 150 kilogram udang dianggarkan bernilai RM1,815.00," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pajeri berkata tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perikanan 1985.

Katanya, bagi kesalahan pertama, pemilik kapal akan dikompaun sebanyak RM500, kesalahan kedua RM1,000 dan kesalahan ketiga RM1,500, dan sekiranya kesalahan berulang lesen boleh dibatalkan dan kapal akan disita.

  • oleh
  • Advertisement