Anda di sini

Dua maut dalam kebakaran di bangunan Central World Bangkok

Advertisement
Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa dari bangunan - Gambar Bernama 

BANGKOK: Sekurang-kurangnya dua terbunuh dan 16 lagi tercedera dalam satu kebakaran di sebuah bangunan ‘Central World’ di sini pada Rabu.

Antara yang musnah dalam kebakaran pada kira-kira pukul 5.40 petang waktu tempatan di bangunan itu termasuk sebuah pusat membeli belah, hotel dan menara pejabat berhampiran persimpangan Ratchaprasong di daerah Pathumwan.

Gambar dan klip video yang tular di media sosial menunjukkan asap tebal menyelubungi bangunan itu semasa ratusan pengunjung serta penghuni bangunan bergegas keluar, dan ada juga klip video yang menunjukkan seorang lelaki terjun daripada bangunan berkenaan untuk menyelamatkan diri.

Laporan awal mengatakan kebakaran bermula di bilik stor dokumen di tingkat lapan hotel.

Gabenor Bangkok Assawin Khwanmueng yang bergegas ke tempat kejadian berkata seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi di Hospital Chulalongkorn, dan kedua-dua mereka dipercayai terjun keluar dari bangunan itu untuk menyelamatkan diri semasa kejadian.

Sekurang-kurangnya 16 tercedera akibat terhidu asap, dan semua mangsa menerima rawatan di Police General Hospital dan Chulalongkorn Hospital.  

“Mereka sedang dipantau rapi oleh para doktor di hospital, kita perlu menunggu doktor untuk mengesahkan kecederaan dan keadaan terkini mangsa,” katanya pada sidang media di sini.

Api dapat dikawal pada kira-kira pukul 6.10 petang.

Sementara itu syarikat pengendali bangunan Central World; Central Pattana Plc dalam kenyataan malam tadi berkata keadaan di persekitaran bangunan itu kembali normal. - Bernama 

Advertisement