Anda di sini

Peniaga didenda RM6,000 miliki keluaran tidak berdaftar, bernotifikasi

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang peniaga wanita dikenakan denda sebanyak RM6,000 atau penjara dua bulan, atas kesalahan memiliki keluaran tidak berdaftar dan bernotifikasi.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena menjatuhkan hukuman itu terhadap Saini Ukor, 32, selepas mengaku salah atas dua pertuduhan terbabit.
Setiap pertuduhan terbabit, mahkamah mengenakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara sebulan.

Pertama, tertuduh didapati memiliki 12 jenis keluaran tidak berdaftar antaranya sebanyak 184 kotak BL (krim), 281 kotak Clobetamil G, 571 kotak Kinoki dan 10 kotak BF Sinus Cure.

Kesalahan dilakukan pada 28 Januari tahun lalu jam 12 tengah hari di sebuah premis, Universiti Plaza, Jalan Sulaman, Manggatal di sini.

Tertuduh melanggar Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 30 (1) peraturan sama.

Kedua, tertuduh memiliki dua jenis keluaran tidak bernotifikasi sebanyak 281 buku sabun Oren dan 221 kotak Collagen Plus Vit E, pada hari dan di tempat yang sama.

Saini melanggar Peraturan 18 A (1)(a) peraturan sama yang menjadi kesalahan mengikut Peraturan 18 A (15) peraturan sama.

Untuk kedua-dua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.

Semasa rayuan Saini yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan kerana perlu menyelesaikan masalah keluarga.

Namun Pegawai Pendakwa Vanitha Balakrishnan dari Jabatan Farmasi meminta hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Menurutnya setiap produk atau kosmetik harus mendapatkan dan melalui proses pendaftaran dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau juga memohon mahkamah mempertimbangkan keselamatan orang awam sebelum hukuman dikenakan, supaya dapat menjadi pengajaran kepada individu yang ingin melakukan kesalahan sama.

  • oleh
  • Advertisement