Anda di sini

Cuba cabul wanita, pemuda dipenjara 12 bulan, sekali sebatan

Advertisement
 Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas perbicaraannya di Mahkamah Majistret Sibu, semalam.
DIHUKUM: Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas perbicaraannya di Mahkamah Majistret Sibu, semalam.

SIBU: Seorang pemuda yang cuba mencabul seorang pekerja wanita di sebuah premis hiburan di sini dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Muhammad Faizal Che Saad yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan tertuduh dikenakan satu kali sebatan.

Sliff Romardo Rumpang, 21, dari Kuala Baram, Miri didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 32 tahun itu di sebuah premis hiburan di Sungai Merah kira-kira jam 11.50 malam pada 2 April lalu.

Dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disenaraikan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman tersebut.

Dalam menggariskan fakta kes, pegawai pendakwa Inspektor Badrul Iskandar Selamat memberitahu mahkamah bahawa di premis hiburan terbabit kira-kira jam 11.50 malam pada 2 April lalu apabila mangsa pergi mencuci tandas, dia diekori tertuduh yang cuba menarik seluar dan tangannya sebelum menolaknya ke dalam tandas.

Semasa tertuduh cuba membuka seluarnya, mangsa terus menendangnya.

Tersentak dengan tindakan mangsa, tertuduh mengasarinya dengan mencekik leher mangsa.

Mangsa kemudian menjerit untuk mendapatkan bantuan.

Jeritan mangsa telah didengari anak majikannya yang datang membantu mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis mengenai insiden itu.

Bertindak atas laporan dan siasatan yang dijalankan, tertuduh ditangkap sejurus selepas itu.

Siasatan awal mendapati mangsa cuba menghalang perbuatan tertuduh itu dan terdapat saksi dalam insiden tersebut yang melihat tertuduh ke tandas.

Pemeriksaan perubatan terhadap mangsa juga mendapati terdapat kecederaan tisu pada bahagian leher yang dialami mangsa akibat dicekik.

Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh memohon agar hukumannya diringankan kerana berasal daripada keluarga miskin.

Dalam pertuduhan lain, tertuduh juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan mencekik lehernya.

Tertuduh dilihat tidak membantah tuduhan yang dibacakan kepadanya sekali gus dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM1,000 dan jika gagal membayarnya, akan dipenjarakan satu bulan.

Tuduhan itu disenaraikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Advertisement