Anda di sini

Suspek tidak mengaku bunuh penyanyi rap Hussle

Advertisement
 Holder (berdiri di belakang peguamnya) muncul pada perbicaraan pertamanya di mahkamah Los Angeles County di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada Khamis. — Gambar Reuters
MENGAKU TIDAK BERSALAH: Holder (berdiri di belakang peguamnya) muncul pada perbicaraan pertamanya di mahkamah Los Angeles County di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada Khamis. — Gambar Reuters

LOS ANGELES: Lelaki yang dituduh menembak mati penyanyi rap Nipsey Hussle mengaku tidak bersalah pada Khamis terhadap dakwaan membunuh dan cubaan membunuh ketika dia membuat kemunculan pertama di mahkamah.

Eric Holder, 29, yang telah didakwa dengan memiliki sejenis senjata api milik seorang penjenayah, ditangkap pada Selasa selepas satu pemburuan selama dua hari.

Dia disyaki menembak mati Hussle, yang berusia 33 tahun, pada Ahad lepas di luar kedai pakaian milik penyanyi rap tersebut di selatan Los Angeles selepas satu pergaduhan.

Holder, dia sendiri merupakan seorang penyanyi rap berbakat, telah diwakili di mahkamah pada Khamis oleh Chris Darden, seorang bekas pendakwa raya yang menjadi terkenal  bagi kerja-kerjanya dalam perbicaraan kes bunuh O.J. Simpson.

Bon Holder telah ditetapkan sebanyak AS$5 juta dan kehadiran seterusnya di mahkamah dijadualkan pada 10 Mei.

Sekiranya didapati bersalah, Holder berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Darden telah mencuba namun gagal menghalang media merakamkan gambar anak guamnya semasa pendakwaan pada Khamis, berhujah bahawa terdapat satu “isu mengenai identiti”.

Bagaimanapun pendakwa raya menolak hujahnya, menegaskan bahawa gambar Holder telah disebarkan secara meluas sebelum kehadirannya di mahkamah.

Pihak berkuasa berkata Holder telah terlibat dalam pergaduhan dengan Hussle, yang disayangi oleh penduduk sekitar kawasan kejiranannya bagi kerja-kerja kemasyara-katan beliau, dan kemudian telah pergi dan kembali semula membawa sepucuk pistol.

Dia kemudian menembak Hussle dan dua lelaki lain, salah seorang daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Dia ditangkap di Bellflower, sebuah subbandar Los Angeles, selepas polis menerima satu maklumat.

Laporan berita tempatan menyatakan dia telah ditahan di bilik berasingan di dalam penjara kerana bimbang dia akan diserang oleh banduan lain.

Teman wanita Hussle se-lama ini, aktres Lauren London, yang bersama dengan beliau memiliki seorang anak lelaki berusia dua tahun Kross, telah bersuara setelah lama berdiam diri pada Selasa lepas dalam satu mesej dalam Instagram yang termasuk beberapa keping gambar.

“Saya benar-benar berasa kehilangan sepenuhnya. Saya telah kehilangan teman baik saya. Pelindung saya. Jiwa saya... saya berasa hilang tanpa kamu. Kami berasa hilang tanpa kamu, sayang. Sukar untuk dikatakan,” tulis beliau.

Hussle, dilahirkan dengan nama sebenarnya Ermias Asghedom, telah dipuji oleh pihak berkuasa di Los Angeles dan oleh lawannya kerana telah mengubah dirinya sendiri daripada seorang anggota kumpulan samseng  kepada seorang penyanyi rap berjaya dan penganjur komuniti yang berjuang bagi golongan kulit hitam dan penduduk Latin di Hyde Park, selatan kejiranan Los Angeles di mana beliau membesar.

Beliau sepatutnya bertemu dengan pihak berkuasa tempatan pada hari kejadian pada Isnin bagi membincangkan cara-cara untuk menamatkan keganasan gengster. — AFP

Advertisement