Anda di sini

Tertuduh kes bunuh memilih untuk berdiam diri

Advertisement
 Eddy dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas terus memilih untuk berdiam diri.
TANGGUH: Eddy dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas terus memilih untuk berdiam diri.

SIBU: Mahkamah Tinggi semalam menangguhkan kes bunuh kepada 15 Mei ini selepas tertuduh memilih untuk berdiam diri dua kali apabila diminta membela diri.

Tertuduh, Eddy Ganeng, 54, memilih untuk berdiam diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Lim Hock Leng mengarahkan peguam bela tertuduh, Wee Wui Kiat dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Tajul Aariffin Musa mengemukakan hujah bertulis pada akhir kes pembelaan.

Eddy terdahulu didakwa menyebabkan kematian Baring Birang, 54, pada 11 November, 2017 di sebuah rumah di Nanga Nansang, Sungai Ibau, Kapit.   

Kelmarin (Rabu), mahkamah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Eddy dan tertuduh memilih untuk berdiam diri meskipun diberi penjelasan mengenai pilihan lain oleh peguamnya.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes kepada hari ini (Khamis) bagi membolehkan peguam bela tertuduh sekali lagi memberi penjelasan kepadanya mengenai pilihan yang ada.

Namun Eddy terus memilih untuk berdiam diri semalam, memaksa mahkamah menangguhkan kes kepada 15 Mei ini.

Advertisement