Anda di sini

Rakyat bersatu Sayangi Sawitku, bersama bantah diskriminasi Kesatuan Eropah

Advertisement
 (Empat kiri) Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim (lima dkiri) pada majlis pelancaran Kempen Sayangi Sawitku bertempat di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey, Selangor baru-baru ini.
JAGA ALAM SEKITAR: (Empat kiri) Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim (lima dkiri) pada majlis pelancaran Kempen Sayangi Sawitku bertempat di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey, Selangor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Minyak sawit mempunyai kelebihan berbanding minyak sayuran lain di pasaran global dari segi penawaran harga yang kompetitif, mempunyai khasiat dan nilai pemakanan yang tinggi dan kegunaan yang pelbagai  bagi penyediaan makanan.

Selain itu, pokok sawit mempunyai hayat ekonomi selama 25 tahun dengan pengeluaran hasil sepanjang tahun dan sepuluh kali ganda lebih tinggi berbanding minyak sayuran lain. Tanaman sawit bersama kawasan hutan yang lebih separuh keluasan kegunaan tanah di Malaysia berfungsi menyerap pelepasan gas karbon dioksida di udara bagi kepentingan dunia sejagat.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di hadapan ribuan pengunjung yang hadir pada pelancaran Kempen Sayangi Sawitku, dengan tegas menyuarakan bantahan Malaysia terhadap tindakan diskriminasi perdagangan minyak sawit oleh Negara Kesatuan Eropah bagi menghalang penggunaan minyak sawit di pasaran negara berkenaan.  

“Eropah bukan pasaran utama minyak sawit Malaysia, tindakan memburukkan imej minyak sawit yang dikaitkan dengan penebangan hutan adalah lebih kepada pertimbangan ekonomi bagi melindungi industri minyak sayuran tempatan yang bersaing dengan minyak sawit.”

“Malaysia tidak boleh menerima tindakan diskriminasi perdagangan minyak sawit kerana industri sawit merupakan penjana penting ekonomi negara dan sumber pendapatan kepada 650,000 pekebun kecil yang mengusahakan hampir 40 peratus keluasan tanaman sawit negara yang berjumlah 5.84 juta hektar,”

“Malaysia boleh mempertimbangkan tindak balas memboikot atau mengurangkan pembelian barangan yang dikeluarkan oleh Negara Kesatuan Eropah termasuk menimbangkan pembelian pesawat pejuang buatan China yang mempunyai kemampuan teknologi setanding negara barat,” tegas beliau dalam kenyataan medianya pada majlis pelancaran Kempen Sayangi Sawitku bertempat di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey, Selangor baru-baru ini.

Lebih 4,000 orang termasuk kedutaan asing, pelajar, masyarakat umum dan pekebun kecil menyertai pemain industri sawit pada majlis pelancaran Kempen Sayangi Sawitku tersebut.

Kempen Sayangi Sawitku dilaksanakan oleh Kementerian Industri Utama dan bertujuan  memupuk kecintaan dan kebanggaan masyarakat umum ke atas industri sawit negara serta penggunaannya.   

Dalam situasi industri sawit berdepan cabaran getir menangani kempen antiminyak sawit di luar negara, sokongan padu seluruh rakyat Malaysia terhadap industri sawit yang merupakan tanaman komoditi utama adalah tindakan patriotik.

Minyak sawit adalah produk lima bintang kebanggaan negara yang terbukti melalui kajian klinikal mempunyai khasiat pemakanan yang tinggi, baik untuk kesihatan, pilihan tepat untuk makanan dan penyediaan masakan.

Galakan penggunaan minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah langkah tepat oleh Kementerian Industri Utama kerana hampir 80 peratus produk makanan yang berada di pasaran tempatan mempunyai kandungan minyak sawit.

Tidak dinafikan masih terdapat kalangan penduduk tempatan terpengaruh dengan tohmahan negatif yang mengaitkan pemakanan minyak sawit memudaratkan kesihatan dan iklan produk luar negara bagi pilihan minyak masak, majerin dan produk pengguna lain.

Namun begitu, dalam konteks ini, usaha kementerian melibatkan syarikat-syarikat pengeluar produk makanan dan produk berasaskan sawit termasuk syarikat tempatan yang mengkomersilkan teknologi MPOB dalam promosi Kempen Sayangi Sawitku akan meningkatkan pendedahan kepada pengguna.

Inisiatif Menteri Industri Utama, Teresa Kok melibatkan syarikat-syarikat yang mengkomersil teknologi MPOB untuk publisiti Kempen Sayangi Sawitku melalui label produk keluaran syarikat masing-masing adalah amat bertepatan dan pendekatan strategik.

MPOB menghasilkan lebih 651 teknologi dan 179 perkhidmatan baru yang ditawarkan untuk pengkomersilan meliputi produk makanan berasaskan sawit, teknologi berkaitan pengeluaran bahan tanaman sawit, formulasi baja, kejenteraan ladang, teknologi pengilangan, produk biojisim sawit, oleokimia dan teknologi pengeluaran biodiesel sawit.

 Hampir 30 peratus teknologi yang ditawarkan telah dikomersil oleh pihak industri dan syarikat tempatan termasuk pemain industri kecil dan serderhana.

Antara teknologi MPOB yang telah dikomersilkan bagi pengeluaran produk makanan dan kesihatan termasuk minyak sawit merah, minyak masak smart balance, vitamin E yang kaya dengan tokotrienol. Minyak sawit merah mengandungi nutrient, pro vitamin A dan vitamin E serta tinggi antioksida yang baik untuk kesihatan. Produk bukan makanan berasaskan sawit termasuk produk kosmetik dan penjagaan diri seperti losyen, shampoo, lipstik, produk pencuci serta produk kegunaan industri seperti baja dan produk kawalan penyakit dan serangga perosak yang mesra alam.

Kementerian Industri Utama juga berkerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi publisiti Kempen Sayangi Sawitku melalui produk minyak masak olein sawit di bawah skim bersubsidi.  

 Kerjasama dengan syarikat pengeluar produk makanan dan produk berasaskan sawit bagi publisiti Kempen Sayangi Sawitku dapat meningkatkan kebanggaan dan kecintaan rakyat Malaysia terhadap produk buatan Malaysia berasaskan sawit dalam kegunaan seharian.

Pelaksanaan Kempen Sayangi Sawitku juga melibatkan pendedahan meluas kepada generasi muda di peringkat sekolah, kolej dan universiti mengenai industri sawit dan kegunaan produk sawit.

 Sasaran Kempen Sayangi Sawitku juga kepada pelancong dan pengunjung dari luar negara. Kementerian Industri Utama bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan serta Malaysia Airports Holding Berhad, Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Airways bagi promosi kebaikan dan khasiat minyak sawit serta amalan mampan industri sawit dan pemuliharaan alam sekitar.

Advertisement