Anda di sini

Dua wanita ditahan miliki dadah bernilai lebih RM142,000

Advertisement
 Shanmugamoorthy (tengah) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah yang bernilai RM142,460, ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Shanmugamoorthy (tengah) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah yang bernilai RM142,460, ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM142,460 dengan penahanan dua orang wanita, di Kepong Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy berkata sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah memberkas suspek iaitu warga Indonesia berusia 30-an dan seorang lagi warga tempatan berusia 50-an.

“Tangkapan pertama wanita Indonesia pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan hasil pemeriksaan terhadap suspek, sejumlah 500 biji pil Ecstasy dengan anggaran berat 172.32 gram dijumpai  dengan nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM7,500.

“Susulan tangkapan itu, pada kira-kira jam 4.30 petang hari yang sama pihak kami telah membuat serbuan ke sebuah kondominium di Kepong didiami seorang lagi suspek wanita berumur 50-an dan telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM134,960,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Sentul di sini, semalam.

Menurutnya, suspek warga tempatan itu dipercayai ‘tokan’ (pengedar utama) dadah di kawasan Sentul melalui penemuan dadah yang banyak di kediamannya iaitu satu bungkus Ketamin, 1,862 biji Esctacy, dua peket ganja, lima peket Methamphetamine dan 2,600 biji pil Eramin 5.

Kedua-dua suspek ditahan reman enam hari bermula 29 Mac di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. — Bernama

Advertisement