Anda di sini

Maritim Malaysia tahan tiga bot nelayan

Advertisement
SALAH sebuah bot yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Kerok Kunak.
SALAH sebuah bot yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Kerok Kunak.

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini menahan tiga buah bot selepas didapati menangkap ikan pada jarak tiga batu nautika dari daratan kira-kira jam 10.22 pagi pada Ahad.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Lahad Datu Leftenan Maritim Muhammad Zarif Mat Yunus berkata, tindakan bot terbabit melanggar syarat lesen perikanan iaitu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, turut ditahan tiga tekong warga tempatan dan lima kru warga Filipina berumur dalam lingkungan 21 hingga 53 tahun.

"Bot terbabit didapati menangkap ikan di kawasan sekitar 0.6 batu nautika utara Pulau Kerok Kunak.

"Semasa pemeriksaan, tekong mengemukakan lesen bot dan dokumen pengenalan diri yang sah bersama dokumen kru bot.

"Bot berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti Perikanan di sini untuk siasatan Ianjut di bawah Akta Perikanan 1985. Jika disabitkan kesalahan pemilik bot boleh dikenakan kompaun atau denda maksima RM1,000," jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tangkapan itu sebahagian daripada langkah pencegahan melibatkan Akta Perikanan 1985 di laut.

Selain itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus menggandakan usaha bagi mencegah sebarang kejadian di Iaut dan mengekang pencerobohan bot nelayan asing terutama di perairan Sabah.
 

  • oleh
  • Advertisement