Anda di sini

Jasad Stephen Wong Tien Fatt dikebumi hari ini

Advertisement
Chong (kiri) bersama keluarganya memberikan penghormatan terakhir kepada suaminya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt di Dewan SM Tiong Hua hari ini. - Gambar Bernama
Chong (kiri) bersama keluarganya memberikan penghormatan terakhir kepada suaminya mendiang Wong di Dewan SMJK Tiong Hua hari ini. - Gambar Bernama

SANDAKAN: Jasad Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, dikebumikan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Sandakan sejak 2013, yang juga Pengerusi DAP Sabah itu disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Sandakan kira-kira 1 tengah hari selepas upacara keagamaan diadakan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini pagi ini.

Antara yang hadir pada upacara keagamaan dan menyampaikan eulogi ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang, yang menyifatkan Wong sebagai mengabdikan hidupnya ke arah kemajuan Sabah dan Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah, turut menyampaikan eulogi dan menyifatkan Wong sebagai pemimpin yang mempunyai visi serta misi dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Antara pemimpin politik termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kiri) memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt di Dewan Sekolah Menengah Tiong Hua hari ini.
Antara pemimpin politik termasuk Lim Kit Siang (kiri) memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Wong di Dewan SMJK Tiong Hua hari ini. - Gambar Bernama

Beliau berkata perjuangan mendiang Wong dalam memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 tidak akan sia-sia.

Turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jaujan Sambakong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Menteri Perusahaan Utama Teresa Kok Suh Sim, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Norazlinah Arif dan Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Jannie Lasimbang.

Wong meninggal dunia pada usia  64 tahun dipercayai akibat serangan jantung selepas menyertai aktiviti merentas hutan bersama sekumpulan pendaki gunung di Tambaig Adventure Park di Kota Kinabalu, pada 28 Mac.

Beliau meninggalkan balu, Datin Chong Mee Fook, tiga anak perempuan, seorang anak lelaki dan dua cucu.- Bernama 

Advertisement