Anda di sini

Dr. Ramzah Dambul dilantik TNC Penyelidikan dan Inovasi UMS baharu

Advertisement
DR. Shahril (kiri) menyerahkan tugas kepada Dr. Ramzah (kanan) sambil disaksikan oleh K.Y Mustafa (belakang kiri) dan Dr. D Kamarudin (belakang kanan).
DR. Shahril (kiri) menyerahkan tugas kepada Dr. Ramzah (kanan) sambil disaksikan oleh K.Y Mustafa (belakang kiri) dan Dr. D Kamarudin (belakang kanan).

KOTA KINABALU: Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa 1 April 2019 hingga 1 Mac 2022.

Pelantikannya ke jawatan itu diumumkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dr. Ramzah, 49, memulakan perkhidmatan di UMS sejak tahun 1998 di Sekolah Sains Sosial yang kini dikenali sebagai Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) dan mempunyai kepakaran dalam bidang Geografi khususnya berkaitan Sains Iklim (Klimatologi).

Beliau pernah dipinjamkan ke Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi Malaysia (MoSTI) yang kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha kementerian dari Mac 2016 sehingga Mac 2019.

Selain memiliki kepakaran dalam bidang sains iklim, anak kelahiran Ranau Sabah yang mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dari University of East Anglia United Kingdom ini turut aktif dalam bidang sastera dan penulisan kreatif.

Majlis serah tugas berlangsung hari ini, yang menyaksikan mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof menyerahkan dokumen serah tugas kepada beliau di Galeri, Bangunan Canselori UMS.

Majlis itu turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk K Y Mustafa, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan pegawai-pegawai Utama UMS.

Pihak UMS mengucapkan syabas dan tahniah kepada Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul, dan ucapan setinggi terima kasih kepada Prof. Dr. Shahril Yusof.
 

Advertisement