Anda di sini

PPM Sandakan tahan kapal nelayan Vietnam

Advertisement
JURAGAN bersama empat anak kapal warga Vietnam yang ditahan PPM Sandakan.
JURAGAN bersama empat anak kapal warga Vietnam yang ditahan PPM Sandakan.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan yang menjalankan Op Pensura telah berjaya menahan sebuah kapal nelayan di kawasan perairan laut Pulau Jambongan Sandakan kira-kira jam 1 petang Sabtu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Hj Mohamad Pajeri Ali berkata Botronda RH 36 dan RH 54 PPM Sandakan turut menahan seorang lelaki warga Vietnam berumur 30 tahun yang merupakan juragan kapal terbabit bersama empat lagi anak kapal, semuanya lelaki dari negara yang sama.

"Mereka gagal mengemukakan permit menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan. Siasatan awal juga mendapati nombor pendaftaran di bahagian hadapan kapal nelayan berkenaan telah dicat dengan warna hitam," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

Nilai rampasan termasuk sebuah kapal nelayan dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM700,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 25 Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata PPM bukan sahaja melaksanakan tugas dalam aspek penguatkuasaan undang-undang maritim sahaja, tetapi juga dari aspek mengawal keselamatan perairan negara daripada pencerobohan nelayan asing.

"Masyarakat maritim juga sentiasa dialu-alukan sebagai mata dan telinga kepada pasukan polis bagi mengekang daripada berlakunya pelanggaran undang-undang dan pencerobohan perairan demi menjaga kedaulatan negara," katanya.

  • oleh
  • Advertisement