Anda di sini

Balai Seni Negara Langkawi bakal jadi tarikan

Advertisement
 Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berbual bersama penggiat seni selepas merasmikan Balai Seni Negara Langkawi atau NAG@Langkawi di Langkawi, semalam. — Gambar Bernama
RAMAH MESRA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berbual bersama penggiat seni selepas merasmikan Balai Seni Negara Langkawi atau NAG@Langkawi di Langkawi, semalam. — Gambar Bernama

LANGKAWI: Balai Seni Negara cawangan Langkawi atau NAG@Langkawi bakal menjadi satu lagi produk pelancongan terbaharu sekali gus menarik lebih ramai jumlah pengunjung ke pulau bebas cukai ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata pemilihan Langkawi sebagai destinasi balai seni cawangan itu  dilihat bakal memberikan senario serta potensi baru kepada produk pelancongan melalui seni visual di pulau ini khasnya dan negara umumnya.

Katanya jumlah tersebut dapat dicapai menerusi aktiviti pameran dan program seni visual di NAG@Langkawi.

“Menerusi data Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Langkawi Tourism, jumlah pengunjung ke pulau lagenda ini dicatatkan lebih dari 3.6 juta orang meliputi pelancong domestik dan antarabangsa tahun lalu.

“Justeru kita mengharapkan agar angka tersebut terus meningkat berterusan dan menjadi salah satu pertumbuhan indeks ekonomi negara yang konsisten,” katanya ketika merasmikan NAG@Langkawi, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamaddin mahu komuniti seni di Langkawi mendapat manfaat keberadaan balai seni tersebut menerusi program serta aktiviti yang boleh dirancang bersama.

“Saya amat mengharapkan akan lebih ramai lagi pelukis yang melihat potensi Langkawi sebagai lokasi seni yang berwibawa. Malah hari ini (semalam) saya dimaklumkan terdapat beberapa komuniti seni visual yang bergiat aktif seperti Persatuan Artist Seni Visual Langkawi (LAVA),” katanya.

NAG@Langkawi yang terletak di Dayang Commercial Square, Kuah telah memulakan operasi pada 25 Mac yang lalu. — Bernama

Advertisement