Anda di sini

Jasons Food Hall tambah produk makanan segar Australia

Advertisement
 Stephanie Leong (kiri) bersama Khairunnisya Hanis (kanan) menunjukkan antara produk terbaharu pada Majlis Pelancaran Produk Victoria dan Tasmania di Jasons Food Hall Bangsar Shopping Centre, semalam. — Gambar Bernama
CUBALAH: Stephanie Leong (kiri) bersama Khairunnisya Hanis (kanan) menunjukkan antara produk terbaharu pada Majlis Pelancaran Produk Victoria dan Tasmania di Jasons Food Hall Bangsar Shopping Centre, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jasons Food Hall, jenama rangkaian runcit di bawah GCH Retail Sdn Bhd, bekerjasama dengan pengeluar produk makanan segar yang berpangkalan di Australia dari Tasmania dan Victoria, bagi memperluaskan barisan produk segarnya kepada pelanggan tempatan.

Pengarah Urusan GCH Pierre-Olivier berkata di bawah kerjasama itu, Jasons Food Hall akan menambah pelbagai produk yang diimport secara eksklusif dari Australia, iaitu keju, produk tenusu, makanan ringan, sos dan makanan laut yang berkualiti tinggi.

“Kami di Jasons Food Hall komited untuk menyediakan kepada pelanggan kami produk berkualiti tinggi dari seluruh dunia. Kami sentiasa mendengar pelanggan kami, dalam usaha untuk memenuhi keperluan mereka dan memberi pengalaman yang hebat di dalam kedai.

“Oleh itu, kami amat berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi eksklusif untuk menjual produk segar dan produk berkualiti tinggi lain dari Victoria dan Tasmania,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran kerjasama itu di sini kelmarin.

Negeri Victoria terkenal bagi pembuatan makanan dan minumannya serta tanah ladang yang luas terdiri daripada penternakan dalam skala besar dan pengeluaran bijirin, manakala Tasmania, digelar ‘pulau inspirasi’ dengan reputasi untuk produk keju dan tenusu, juga merupakan pengeksport utama makanan laut, terutamanya salmon.

“Pelanggan kami mencari makanan laut yang berkualiti tinggi dan kami dapat menawarkan makanan ini,” katanya. — Bernama

Advertisement