Anda di sini

14 bekas askar Peru didakwa ‘secara sistematik’ rogol petani wanita

Advertisement
 Bekas askar yang dituduh merogol secara sistematik sembilan petani wanita sewaktu konflik 1984-1995, digambar sewaktu perbicaraan mereka di Lima pada Rabu. — Gambar AFP
DIBICARA: Bekas askar yang dituduh merogol secara sistematik sembilan petani wanita sewaktu konflik 1984-1995, digambar sewaktu perbicaraan mereka di Lima pada Rabu. — Gambar AFP

LIMA: Seorang hakim di Peru pada Rabu berkata askar telah melakukan jenayah kemanusiaan dengan “secara sistematik” merogol sembilan petani wanita antara 1984 hingga 1995 sewaktu konflik dengan puak gerila Shining Path.

“Oleh kerana ini adalah jenayah kemanusiaan, perbicaraan akan diadakan dalam pendengaran terbuka,” kata Hakim Edhin Campos.

Seramai 14 pegawai tidak bertauliah yang kini sudah bersara dituduh berulang kali merogol sembilan wanita di wilayah Huancavelica di Pergunungan Andes, salah sebuah wilayah paling mundur di Peru, sewaktu tempoh paling berdarah dalam konflik antara tentera dengan puak gerila Maoist.

“Ia adalah satu keputusan bersejarah. Kita tidak bercakap mengenai kejadian rogol yang terpencil tetapi rogol sistematik di markas tentera,” kata Juan Jose Quispe, seorang peguam bagi enam mangsa.

“Kami sekarang menunggu perbicaraan diadakan dalam tempoh dua tahun dan bagi mereka yang bertanggungjawab untuk berdepan dengan undang-undang dan dijatuhi hukuman.”

Pendakwa berkata beberapa wanita tersebut mengandung selepas dirogol, dan ramai lagi wanita kemungkinan besar telah dirogol, tetapi ada yang takut untuk bercakap me-ngenai jenayah itu.

Lima wanita mengandung dan “menanggung kesan se-umur hidup kerana mereka sangat muda ketika kejadian itu berlaku”, kata peguam Cynthia Silva dari kumpulan hak asasi manusia Demus.

Dalam Twitter, Kementerian Wanita dan Populasi Lemah memuji kemajuan bagi “hak mangsa untuk menikmati kebenaran”.

Kes itu dikemukakan kepada Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian pada 2003. Panel itu menjalankan siasatan selama empat tahun.

Ratusan kes rogol dan pencabulan seksual lain, pelacuran paksaan dan pengguguran, selain perhambaan seks berlaku sewaktu konflik selama dua dekad di Peru dari 1980 hingga 2000, menurut suruhanjaya itu.

Seramai 538 orang memberikan keterangan mengenai pencabulan seksual kepada suruhanjaya, termasuk 527 wanita dan 11 lelaki.

Kira-kira 4,567 kejadian rogol berlaku dalam konflik berkenaan, selain 1,500 kes keganasan seksual pelbagai bentuk, menurut daftar mangsa dalam Kementerian Keadilan.

Lebih 69,000 orang terkorban atau hilang sewaktu konflik dalaman di Peru, dengan kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak, menurut suruhanjaya berkenaan. — AFP

Advertisement