Anda di sini

Sultan Selangor mahu SPRM kekal sebagai badan bebas pengaruh luar

Advertisement
 Sultan Sharafuddin (dua kanan) bersama Tengku Norashikin (tiga kanan) serta Tengku Amir Shah (kiri) berkenan hadir ke Majlis Perasmian Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor di Seksyen 16 Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama
TURUN PADANG: Sultan Sharafuddin (dua kanan) bersama Tengku Norashikin (tiga kanan) serta Tengku Amir Shah (kiri) berkenan hadir ke Majlis Perasmian Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor di Seksyen 16 Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya terus kekal menjadi satu badan yang bebas daripada pengaruh pihak luar termasuk orang politik.

Baginda bertitah SPRM seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa atau dengan kata lain ‘without fear or favour’.

“Pegawai-pegawai penyiasat SPRM hendaklah diberi kebebasan dengan kuasa yang ada kepada mereka untuk menjalankan tugas penyiasatan mereka secara profesional tanpa arahan-arahan tertentu yang boleh mengganggu penyiasatan mereka.

“Dengan jalan ini, pihak SPRM akan dilihat sebagai satu badan yang boleh dipercayai oleh rakyat bagi membanteras gejala rasuah dan sekali gus menepis segala tanggapan negatif rakyat terhadap SPRM berkaitan ketelusan dalam menjalankan amanah,” titah baginda semasa merasmikan kompleks pejabat baharu SPRM Selangor di Seksyen 16, di sini semalam.

Turut berangkat ke majlis berkenaan adalah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda turut mengingatkan semua pemimpin negeri, negara serta penjawat awam supaya tidak terlibat mahupun mendekatkan diri dengan rasuah dan perkara yang membolehkan tohmahan rasuah serta penyelewengan dilemparkan oleh pihak tertentu.

“Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu semasa melaksanakan tugas mentadbir negeri. Perbuatan sebegini perlu dielakkan sama sekali daripada dilakukan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah walaupun rakyat sering mendengar rasuah melibatkan penjawat awam, namun hakikatnya gejala tersebut turut berlaku dalam sektor swasta termasuk institusi agama serta badan-budan sukarela dan badan sukan.

Baginda dengan itu menyarankan SPRM supaya memastikan penguatkuasaan juga dilakukan terhadap pelaku rasuah dalam sektor swasta dan badan-badan berkenaan.

“Di kesempatan ini beta ingin menasihatkan agar para pemimpin negeri serta penjawat awam, hendaklah sentiasa menitikberatkan etika kerja yang berlandaskan nilai-nilai murni dan kejujuran yang tinggi semasa menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

“Rasuah merupakan satu perbuatan salah guna kuasa dan salah guna kedudukan bagi tujuan memperkayakan diri sendiri, anggota keluarga serta kroni-kroni ketika seseorang itu memegang jawatan dan diamanahkan dengan tanggungjawab mentadbir urus sumber awam.

“Menjadi penjawat awam dan orang politik bukan jalan untuk mengumpul harta kekayaan serta bermewah-mewah. Kita perlu mengingati kembali sumpah jawatan yang telah diikrarkan untuk berkhidmat dengan amanah dan jujur kepada rakyat,” titah baginda.

Menyentuh mengenai aduan orang ramai mengatakan terdapat kes rasuah yang tidak diketahui kesudahannya, baginda menyarankan SPRM supaya suruhanjaya itu memberikan maklumat secukupnya kepada umum tentang tindakan penguatkuasaan mereka secara berkesan.

“Maklumat yang lengkap tentang hasil siasatan ini penting bagi mengelak daripada persepsi bahawa sesetengah pihak dibebaskan tanpa sebarang tindakan dan SPRM tunduk kepada pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan tugas mereka,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin menzahirkan perkenannya dengan usaha dan komitmen SPRM, kerajaan Selangor serta rakyat negeri ini dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa malah baginda percaya dengan pelaksanaan pentadbiran yang amanah, rakyat pastinya dapat menikmati kemakmuran serta kekayaan pada peringkat negeri mahupun negara. — Bernama

Advertisement