Anda di sini

Terapi urut dapat permintaan dalam dan luar negara

Advertisement
MOHAMAD (dua kiri) menyampaikan sijil pelatih terbaik ESA pada majlis berkenaan sambil diperhatikan oleh Stella (tiga kanan).
MOHAMAD (dua kiri) menyampaikan sijil pelatih terbaik ESA pada majlis berkenaan sambil diperhatikan oleh Stella (tiga kanan).

KOTA KINABALU: Profesion terapi urut bertauliah masih mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai sektor berkaitan sama ada di dalam mahupun luar negara.

Pengurus Excellent Skill Academy (ESA) Stella Matuya berkata, ia terbukti setelah pelatih terapi di bawah seliaannya turut mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai pihak.

"Setakat ini, sebanyak 89 syarikat sudah bekerjasama dengan pihak kami dan ini tidak termasuk berpuluh lagi syarikat yang memohon.

"Syarikat ini masih memerlukan ratusan pekerja terapi dari Sabah. Permintaan ini bukan sahaja melibatkan agensi dalam negara, bahkan dari negara luar seperti Singapura, Brunei, Australia dan China," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kali ke-6 ESA, di sini.

Dalam pada itu, Stella berkata ESA akan sentiasa terbuka membantu belia di Sabah untuk mendapatkan peluang pekerjaan selepas menghabiskan latihan di akademi berkenaan.

Katanya, setakat ini, pelatih ESA yang berjaya menamatkan latihan industri dari pelbagai syarikat spa, sudahpun berjaya mendapatkan tempat di dalam syarikat berkenaan.

"Program yang kami tawarkan mengambil tempoh singkat iaitu selama enam bulan sahaja iaitu tiga bulan di dalam akademi dan tiga bulan lagi menjalani latihan industri.

"Sehingga kini, kami akan pastikan semua pelatih akan dapat kemudahan terbaik dari segi tempat tinggal dan tiket penerbangan yang ditanggung sepenuhnya setiap tahun.

"Setelah habis latihan, mereka kebanyakannya diserap terus bekerja dan diberi gaji minimum RM2,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Yusof Yacob memuji kesungguhan ESA yang turut sama membantu kerajaan dalam mengubah kehidupan belia khususnya di negeri ini.

Katanya, program yang ditawarkan ESA mampu mengurangkan jumlah penganggur dalam kalangan belia Sabah.

"Jadi saya berharap akan lebih ramai lagi golongan belia yang mengambil peluang sebegini sekali gus mengikuti program yang sangat bermanfaat ini.

"Kerajaan juga sememangnya mengambil perhatian pusat-pusat latihan yang bertauliah dan mampu memberikan latihan kepada golongan belia khasnya.

"Bagaimanapun, saya syorkan agar akademi ini akan terus mencari dana agar peluang latihan sebegini dapat dikembangkan lagi," katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh pembantunya Mohamad Mohamarin.

Terdahulu, seramai 20 pelatih kursus terapi spa di bawah seliaan ESA diraikan pada majlis berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement