Anda di sini

UNIMAS sedia peluang kepada pelajar untuk bekerja sambilan

Advertisement
 Antara inisiatif yang dibuat UNIMAS bagi membantu pelajarnya menangani kos hidup yang tinggi.
PERANAN: Antara inisiatif yang dibuat UNIMAS bagi membantu pelajarnya menangani kos hidup yang tinggi.

UNIVERSITI Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyediakan peluang kepada pelajarnya bekerja secara sambilan bagi membantu mereka menangani isu kesempitan wang dan mengelak isu ‘ikat perut’.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni/HEPA) UNIMAS Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, ini merupakan antara peranan yang dibuat selama ini bagi membantu pelajar menangani kos hidup yang tinggi.

“Kami (universiti) tidak hanya memberi makanan tapi juga mengajar pelajar untuk berikhtiar bagi membolehkan mereka belajar erti hidup.

“Universiti menyediakan peluang untuk bekerja sambilan dengan bahagian sukan, perpustakaan, malahan kerja sambilan di kafe-kafe UNIMAS,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo bagi mengulas langkah-langkah yang dibuat universiti bagi membantu pelajar B40.

Menurutnya, pelajar yang bekerja di kafe berpeluang mendapat makanan dan upah kerja mengikut kesesuaian waktu masing-masing.

“Program ini dah lama dibuat sejak empat ke lima tahun lalu dan setakat ini sambutannya begitu memberangsangkan.

“Kita sediakan semua ini namun terpulanglah pada pelajar sendiri untuk merebut peluang jika tidak terlalu memilih pekerjaan atau segan untuk melakukan pekerjaan berkenaan,” ujar beliau.

 Seorang pelajar menggunakan peluang diberikan pihak universiti untuk menjalankan perniagaan menjual makanan di bazar dalam kampus.
GERAI MAKANAN: Seorang pelajar menggunakan peluang diberikan pihak universiti untuk menjalankan perniagaan menjual makanan di bazar dalam kampus.

Mohd Fadzil berkata, melalui langkah yang dibuat UNIMAS bagi membantu pelajar telah menunjukkan pencapaian yang cukup membanggakan.

“Pelajar yang pernah mengambil peluang ini contohnya di kafe, ada yang sudah mengusahakan kafe berkenaan sendiri.

“Ada yang maklumkan peluang berkenaan sedikit sebanyak membantu mereka mengurangkan tekanan kesempitan wang,” katanya sambil menjelaskan, UNIMAS juga memberi peluang untuk pelajar menjalankan perniagaan melalui bazar dan kios yang dibantu HEPA.

Antara peranan lain yang dimainkan UNIMAS bagi membantu pelajarnya ialah bantuan antara RM100 hingga RM500 melalui tabung kebajikan pelajar, bantuan yuran pengajian dan kolej, bantuan khas musibah, bantuan zakat, bantuan khas khairat kematian, sumbangan dan bantuan peribadi serta bantuan pakej kos makanan yang berpatutan.

Advertisement