Anda di sini

UMS, YL4S ganding bahu capai ‘Zero Plastic Heroes’

Advertisement
SEJUMLAH 41.8 kg sampah sarap yang telah dikumpul dari ODEC, Pantai UMS dan diasingkan kepada beberapa kategori oleh para peserta.
SEJUMLAH 41.8 kg sampah sarap yang telah dikumpul dari ODEC, Pantai UMS dan diasingkan kepada beberapa kategori oleh para peserta.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Pengurusan EcoCampus bersama-sama Young Leaders For Sustainability (YL4S) Group telah menganjurkan bersama Program ‘No Trash In Stash (NTrIS) 4.0 Programme 2019: Zero Plastic Heroes’.

Program yang berlangsung di Bilik Seminar Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS dan Pantai ODEC UMS itu bertujuan memberikan kesedaran mengenai pencemaran plastik dan kesannya terhadap keharmonian alam sekitar, sosial dan ekonomi persekitaran.

Selain itu, memberikan motivasi kepada kumpulan sasaran, iaitu para pengusaha kafeteria dan gerai makanan di UMS untuk terlibat secara langsung dalam iltizam UMS menuju ke arah ‘kampus sisa sifar’ seperti yang telah diumumkan oleh Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dalam amanat beliau pada 15 Mac lalu.

Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS Kueh Boon Hee @Kelvin berkata, penganjuran program itu adalah selari dengan Agenda EcoCampus yang diangkat oleh UMS sejak Februari 2013.

Katanya ia berpaksikan lima nilai teras dan enam elemen utama berkisarkan hasrat untuk menjadikan UMS sebagai rujukan serantau dan sedunia dalam pengawasan alam sekitar melalui kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pembangunan infrastruktur, pengurusan, amalan operasi dan pengalaman kampus.

“Agenda EcoCampus dilaksanakan bukan hanya untuk para siswa-siswi dan kakitangan UMS, malahan turut ditujukan kepada para pemegang taruh termasuklah para pengusaha kafeteria dan gerai makanan kita.

“Pengalaman kampus dan gaya hidup hijau berteraskan EcoCampus mampu memberikan kelebihan dalam jangka masa panjang melalui pengurangan pencemaran serta mewujudkan alam sekitar yang lestari, manakala manfaat dalam jangka masa pendek pula membolehkan peningkatan hasil pendapatan dalam perniagaan melalui tarikan terhadap amalan hijau serta aspek kelestarian alam sekitar yang ditonjolkan oleh para pengusaha kafeteria dan gerai makanan,” katanya.

Tambah beliau, satu kajian kes terhadap satu rangkaian restoran di Bangkok yang telah memperkenalkan penggunaan batang kangkung sebagai penyedut minuman pada tahun lalu telah menjadi sensasi dan mempopularkan restoran itu.

Sementara itu, salah seorang ahli YL4S yang merupakan Ketua Projek ‘No Plastic Straw Campus Action Agenda’, Imelda Geoffrey berpendapat penggunaan penyedut minuman plastik dalam kehidupan seharian sebenarnya tidak diperlukan.

“Secara kontrasnya, kita tidak menggunakan penyedut minuman untuk minum di rumah.

“Bahan plastik hampir bersifat ‘abadi’ kerana mudah terurai dan membentuk plastik mikro atau nano yang sudah pun terbukti secara saintifik telah memasuki ikan yang dimakan di lautan, garam, air minuman dan tubuh badan manusia, dan kita harus melakukan tindakan sewajarnya bagi membendung perkara ini daripada terus melarat,” katanya.

Pada program itu, turut berlangsung aktiviti demonstrasi pembersihan pantai selama 30 minit yang menyaksikan sejumlah 41.8 kg sampah sarap berjaya dikumpulkan, dengan botol plastik (9 kg), bahan buangan berasaskan kain (7 kg) dan pembalut plastik (5 kg) antara bahan yang terkumpul.

Ia sekali gus memberi bayangan kepada peserta program terhadap impak negatif pencemaran sampah sarap bahan buatan manusia, khususnya pencemaran plastik serta keperluan untuk usaha berterusan dan penglibatan yang tegar dalam pengurangan sisa buangan di kampus UMS.
 

Advertisement