Anda di sini

RCP Sapi Nangoh berkesan sekat penyeludupan rokok, minuman keras dan PTI

Advertisement
RATAN, Farhan Lee, Zainuddin serta pegawai kanan dan anggota Batalion 20 PGA Beluran bergambar selepas Sambutan Hari Polis Ke 212.
RATAN, Farhan Lee, Zainuddin serta pegawai kanan dan anggota Batalion 20 PGA Beluran bergambar selepas Sambutan Hari Polis Ke 212.

SANDAKAN: Kewujudan Pusat pemeriksaan daratan atau Road Check Point (RCP) Sapi Nongah kini dilihat mempunyai kesan bagi menyekat aktiviti penyeludupan seperti rokok, minuman keras dan pendatang tanpa izin (PTI).

Pegawai Pemerintah Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran Asisten Komisioner (ACP) Ratan Kumar Singh berkata penyeludup kini dikesan tidak lagi menggunakan laluan utama Sandakan-Telupid bagi menjalankan aktiviti kegiatan mereka selepas kewujudan RCP di Sapi Nangoh.

Beliau berkata pihaknya juga kini sedang menjalankan risikan bagi memantau laluan-laluan tikus yang mungkin akan diwujudkan atau digunakan oleh pihak penyeludup.

“Kita melihat keberkesanan wujudnya RCP itu telah menyekat aktiviti jenayah terutamanya penyeludupan,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Sempena Sambutan Hari Polis Ke-212 di perkarangan Ibu Pejabat Batalion 20 PGA Beluran Batu 12 Jalan Labuk, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan yang meletakkan satu pegawai dan 32 anggota beroperasi selama 24 jam membuat pemeriksaan di laluan utama pantai timur ke pantai barat bagi menyekat kemasukan elemen jenayah, termasuk penyeludupan barang dan PTI di daratan, termasuk yang melalui 'laluan tikus'.

Dalam pada itu, Ratan berkata walaupun terdapatnya RCP Sapi Nangoh, pihaknya tidak mengabaikan Check Point Batu 32 Sandakan yang juga laluan pantai timur dari Tawau-Lahad Datu ke Sandakan.

“Kita juga akan sentiasa memantau Check Point Batu 32 untuk menyekat apa juga kemasukan elemen jenayah terutamanya penyeludupan barang dan PTI ke Sandakan dan Beluran," katanya.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada lapan pegawai dan anggota yang memperoleh kejayaan dalam Ops RCP Sapi Nangoh dengan menahan dan membuat pemeriksaan ke atas lapan bas serta sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dari Sandakan dan Lahad Datu.

“Dalam operasi berkenaan, kita telah menahan seramai 298 orang dewasa dan kanak-kanak yang mana 230 daripadanya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya sambil menambah, pihaknya telah menyerahkan kes berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk menjalankan siasatan.

Pada majlis itu, Ratan menyampaikan surat penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam kejayaan Ops RCP berkenaan dan juga sijil penghargaan kepada 43 pegawai kanan, pegawai rendah polis, pegawai awam serta Perkep yang telah menunjukkan prestasi cemerlang selama ini.

Beliau berkata pemberian surat dan sijil penghargaan itu merupakan salah satu simbol pengiktirafan di atas komitmen dan kesungguhan yang telah mereka tunjukkan semasa menjalankan tugas yang diamanahkan.

Ratan berharap penghargaan yang diberikan itu menjadi pemangkin semangat kepada semua dan rakan yang lain untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman di Sabah.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Superintendan Farhan Lee Abdullah, Ajutan Batalion 20 PGA ASP Zainuddin Juhaini, Naib Pengerusi Perkep Batalion 20 PGA Arabiah Abdul Rahim dan pegawai kanan Batalion 20 PGA.

  • oleh
  • Advertisement