Anda di sini

Pembenihan awan dilakukan sekiranya paras air turun di bawah 40 peratus

Advertisement
 Empangan Air Itam mempunyai air mentah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air di bandar Air Itam, Lembah Paya Terubong dan kawasan sekitarnya  elama 48 hari. — Gambar Bernama
PEMBENIHAN AWAN: Empangan Air Itam mempunyai air mentah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air di bandar Air Itam, Lembah Paya Terubong dan kawasan sekitarnya elama 48 hari. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan melaksanakan pembenihan awan sekiranya paras air di Empangan Air itam turun di bawah 40 peratus, kata Ketua Menterinya Chow Kon Yeow.

Chow berkata pada masa ini, Empangan Air Itam mempunyai jumlah air mentah yang mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk di bandar Air Itam, lembah Paya Terubong dan kawasan sekitar selama 48 hari.

“Sehingga Jumaat lepas, kapasiti efektif empangan adalah 49.1 peratus tetapi selepas hujan semalam (kelmarin), paras air meningkat kepada 50.1 peratus semalam. Kami hanya akan melaksanakan pembenihan awan sekiranya kapasiti efektif Empangan Air Itam turun di bawah 40 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Empangan Air Itam di sini semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa.

Chow berkata PBAPP akan memantau situasi itu dan memaklumkan kerajaan negeri untuk meminta Jabatan Meteorologi Malaysia melakukan pembenihan awan sekiranya paras air menurun di bawah 40 peratus.

“Kita telah menyelaras dengan Kedah kerana apabila kita melakukan pembenihan awan, ia bukan sahaja melibatkan awan di Pulau Pinang tetapi juga di utara Perak ke Langkawi, dengan kawasan tertentu menerima hujan bergantung kepada angin,” katanya.

Bagaimanapun, Jaseni menyatakan keprihatinannya terhadap paras air Sungai Muda yang rendah kerana ia merupakan sumber utama air Pulau Pinang.

Beliau berkata paras air menurun di bawah paras amaran PBAPP sebanyak 2m selama 42 hari berturut-turut (9 Feb hingga 22 Mac), dengan paras air pada 1.82m Jumaat lepas.

“Kita akan terus berjaga-jaga kerana PBAPP mengeluarkan air dari hilir sungai ini di 14 loji rawatan air dan pengambilan empat pengairan,” katanya. — Bernama

Beliau berkata Kedah melepaskan air ke Sungai Muda dari Empangan Muda dan Beris untuk memenuhi permintaan di Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya sehingga Jumaat lepas, kapasiti Empangan Muda adalah 49.6 peratus, Empangan Beris 73.3 peratus, Empangan Teluk Bahang 70.7 peratus dan Empangan Mengkuang 46.6 peratus. — Bernama

Advertisement