Anda di sini

SDGA akan terus beri penekanan pendidikan dalam masyarakat Dayak

Advertisement
 Gary (duduk, dua kiri) merakam kenangan bersama Exco SDGA baharu.
SEDIA BERKHIDMAT: Gary (duduk, dua kiri) merakam kenangan bersama Exco SDGA baharu.

PERSATUAN Graduan Dayak Sarawak (SDGA) akan terus memberi penekanan pendidikan dalam kalangan masyarakat Dayak terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Presiden baharu SDGA Gary Ningkan berkata, STEM dan Pendidikan dan Latihan Vokasional Teknikal (TVET) penting untuk mempersiapkan masyarakat Dayak mengambil bahagian dalam Revolusi Industri 4.0 dan aspirasi Ekonomi Digital Sarawak.

“SDGA akan meneruskan fokus kepada perkara pendidikan selain menjadi saluran yang menggalakkan pendidikan STEm di kalangan belia Dayak,” katanya.

Selain itu, Gary berkata, SDGA juga akan menjadi platform dalam mengetahkan suara anak muda Dayak yang prihatin tentang pekerjaan dan kewangan.

“Kita memahami bahawa graduan kita berhadapan dengan cabaran dalam pekerjaan, kita berharap dapat mengetengahkan isu dan mencari jalan penyelesaian.

“Inilah tujuan persatuan ini ditubuhkan,” katanya selepas mengambil alih tampuk kepimpinan SDGA baharu bagi penggal 2019-2021 selepas mesyuarat agung tahunan persatuan itu.

Beliau menggantikan  Dr Dusit Jaul yang merupakan pegawai khas Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Sarawak.

“Saya amat berbesar hati selepas dipilih mengetuai persatuan ini. Dr Dusit dan Exco sebelum ini telah melakukan tanggungjawab dengan baik,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan SDGA menggesa kerja-kerja membaik pulih 1,000 sekolah daif di Sarawak dapat dilaksanakan dengan segera bagi memberi persekitaran pembelajaran yang selesa kepada pelajar luar bandar.

Menyentuh tentang purata umur Exco SDGA baharu, Gary berkata, mereka berusia 30 tahun dan terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mampu menyumbang kepada masyarakat secara menyeluruh.

“Saya amat yakin dengan kebolehan Exco yang sedia ada sekarang untuk kita mengorak langkah SDGA ke arah baharu,” tegasnya.

Ahli Exco termasuk Timbalan Presiden SDGA Dr Jawing Chunggat, 32, Dr Florianna Lendai, 32 (Naib Presiden Iban), Sabestiano Mike, 32 (Naib Presiden Bidayuh), Haider Kowel Bete, 29 (Naib Presiden Orang Ulu), Darrel Nadeng, 25 (Setiausaha Agung), Rudy Ujang, 32 (Bendahari Kehormat), Alicia Augustine, 32 (Timbalan Setiausaha Agung), Nathanael Bolly, 25 (Timbalan Bendahari Kehormat) dan 11 ahli jawatankuasa.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua anak muda graduan Dayak untuk menyokong kita dan bersama-sama menyertai persatuan ini supaya suara kita lebih lantang dan didengari,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat untuk menjadi ahli boleh melayari www.sarawakdga.org.my.

SDGA juga akan melancarkan laman media sosial Facebook secara rasmi pada 1 April nanti.

SDGA didaftarkan pada 23 Julai 2001 dan sehingga kini mempunyai lebih 1,100 ahli.

Advertisement