Anda di sini

Rompak, penganggur dipenjara tujuh tahun dan dua sebatan

Advertisement
 Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan.
DIDAKWA: Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan.

SIBU: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan, 15 Mac lepas.

Tertuduh, Jerry Esa, 35, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Caroline Bee Majanil selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Dalam rayuan, Jerry yang masih bujang memberitahu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya menternak ayam dengan pendapatan RM100 hingga RM200.

Tertuduh turut memberitahu tinggal sendirian dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

Mengikut pertuduhan, Jerry didakwa bersama Abu Bakar Othman, 37, melakukan rompakan berkumpulan pada 15 Mac 2019, kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah di Jalan Tun Abang Haji Openg.

Dalam kejadian, mereka melarikan sebuah gergaji berantai dan mesin pemotong rumput. Untuk pertuduhan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Abu Bakar bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin.

Tertuduh yang bekerja sebagai nelayan juga diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali. Mahkamah menetapkan 22 April depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Berdasarkan fakta kes, setiba pengadu di rumah kira-kira jam 6.55 petang, anaknya yang berusia 14 tahun memaklumkan dua lelaki telah memecah masuk melalui bahagian belakang rumah mereka.

Kedua-dua lelaki itu yang dikenali sebagai tertuduh telah masuk ke dalam rumah dan menjumpai anak pengadu yang sedang bersembunyi di belakang pintu biliknya.

Salah seorang tertuduh bertindak memukul tangan kiri mangsa menggunakan spanar dan mengugut agar tidak melawan, sebelum membawanya ke tingkat bawah.

Kedua-dua tertuduh kemudian mengambil barangan milik pengadu sebelum melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.

Pemeriksaan oleh pengadu mendapati satu gergaji berantai, mesin pemotong rumput, dua telefon bimbit, penyedut hampagas, kunci rumah dan empat pasport Brunei telah hilang, dengan kerugian kira-kira RM2,300.

Advertisement