Anda di sini

Penolong pegawai tadbir MPHTJ didakwa pecah amanah lebih RM320,000

Advertisement
 Nada mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesye, Melaka, semalam. — Gambar Bernama
PECAH AMANAH: Nada mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesye, Melaka, semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Seorang bekas penolong pegawai tadbir di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Melaka di sini semalam atas sembilan pertuduhan pecah amanah berjumlah RM327,844.50 antara 2015 hingga tahun lepas.

Di Mahkamah Sesyen pertama, Nada Aimi A Rahman, 34, meminta dibicarakan terhadap enam pertuduhan melibatkan RM308,987, yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan Nada Aima didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta (wang tunai) tersebut iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta itu bagi kegunaan sendiri.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di MPHTJ, SF-01, Aras 2, Kompleks Melaka Mall, Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya antara 2015 hingga tahun lepas (2018).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi enam pertuduhan tersebut sementara menunggu sebutan kes itu pada 22 April ini.

 Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Nada Aimi meminta dibicarakan terhadap tiga lagi pertuduhan melibatkan RM18,857.50, yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Beliau dituduh atas kesalahan yang sama, di bawah Seksyen Kanun Keseksaan yang sama dan melakukan kesalahan itu di tempat yang sama antara 2017 dan tahun lepas (2018).

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi semua tiga pertuduhan itu sementara menunggu sebutan kes itu pada 22 April ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi. — Bernama

Advertisement