Anda di sini

Tiada rombakan Exco kerajaan Perak dalam masa terdekat

Advertisement
 Ahmad Faizal menyempurnakan perasmian Hari Sukan di Sekolah Agama Rakyat Al-Junid Chemor semalam. — Gambar Bernama
RASMI: Ahmad Faizal menyempurnakan perasmian Hari Sukan di Sekolah Agama Rakyat Al-Junid Chemor semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Harapan tidak akan melakukan sebarang rombakan membabitkan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh 10 anggota Exco dalam memastikan pentadbiran di peringkat negeri berjalan lancar.

“Setakat ini tiada apa-apa perubahan di Perak seperti lazimnya dan pada setiap tahun Exco akan kembali mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak  Sultan Nazrin Shah.

“Dalam masa yang sama, tentunya prestasi menteri besar dan barisan Exco boleh diperbaiki tetapi setakat ini kami bekerjasama dengan baik. Jadi saya tidak ada apa-apa masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sukan Sekolah Agama Rakyat Al-Junid, Chemor di sini, semalam.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun mengulas mengenai desas-desus kononnya akan berlaku perubahan Exco bagi kerusi yang diwakili PKR Perak terutama selepas pemilihan parti itu akhir tahun lalu.

Selain itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang menggesa semua pihak termasuk pembangkang supaya berhenti daripada menyebarkan berita negatif berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata ia bukan sahaja perkara yang sia-sia malah tidak memberi nilai tambah kepada usaha untuk memajukan negeri dan masyarakat.

“Saya fikir parti (pembangkang) itu perlu bermuhasabah dan berfikir macam mana kita nak menjadikan wadah kita ini kembali diterima rakyat. Bukannya dengan cara apabila telah ditolak, kita pula bersusah payah untuk menjatuhkan kerajaan orang lain,” katanya.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpuas hati dengan prestasinya, menteri besar Perak itu menyatakan terharu dengan keyakinan yang dizahirkan terhadapnya dalam memimpin negeri dan PH Perak. — Bernama

Advertisement