Anda di sini

SPDA bantu realisasikan usaha bebas sampah di Pekan Semporna

Advertisement
AHLI SPDA bersama hasil kutipan sampah selepas gotong-royong pembersihan di dasar laut.
AHLI SPDA bersama hasil kutipan sampah selepas gotong-royong pembersihan di dasar laut.

SEMPORNA: Program gotong-royong bersihkan kawasan darat dan laut membantu usaha ke arah menjadikan Pekan Semporna bebas sampah.

Presiden Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) Abdul Razak Ismail berkata, program sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pentingnya menjaga kebersihan.

Malah katanya, ia mampu mendidik masyarakat khususnya warga Semporna supaya tidak membuang sampah di merata tempat.

Beliau berkata, sebagai salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian dalam kerja-kerja pembersihan dasar laut di kawasan Jeti Umum Semporna, pihaknya amat berharap agar orang ramai tidak membuang sampah di kawasan laut terutama berhampiran jeti.

''Hasil gotong-royong pembersihan di dasar laut, kami dapati botol minuman plastik antara yang paling banyak ditemukan di kawasan dasar laut Jeti Umum ini,'' katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Joe berkata, jika setiap orang memainkan peranan membuang sampah di tempat yang disediakan, tidak perlu lagi kerja-kerja pembersihan sampah di dasar laut dijalankan.

Menurutnya, agak memalukan jika dasar laut di Semporna dipenuhi sampah sedangkan daerah itu mempunyai tapak selaman antara yang terbaik di dunia seperti Pulau Sipadan.

"Keindahan Sipadan perlu diselaraskan dengan kebersihan pekan yang menjadi laluan utama untuk menuju ke pulau-pulau di sekitar Semporna," jelasnya.

Program gotong royong berkenaan diadakan pada Jumaat lepas sempena pelancaran Unit Polis Pelancong Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Program itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Semporna, Majlis Daerah Semporna, Taman-Taman Sabah, tentera, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Pejabat Perikanan, Persatuan Nelayan, Persatuan Pelancongan, dan beberapa NGO lain.

Unit Polis Pelancong itu ditubuhkan bagi memudahkan perlindungan dan nasihat keselamatan diberikan kepada pelancong yang semakin ramai di daerah itu.
 

Advertisement