Anda di sini

PPM rampas bot sorok 14 unit tong gas tanpa lesen

Advertisement
BOT nelayan yang digunakan suspek untuk membawa 14 unit tong gas tanpa lesen.
BOT nelayan yang digunakan suspek untuk membawa 14 unit tong gas tanpa lesen.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini menahan sebuah bot nelayan Vietnam selepas didapati membawa sebanyak 14 unit tong gas tanpa lesen.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot terbabit ditahan dalam Ops Gelora di laut Safma dekat sini kira-kira jam 6 petang pada Ahad.

Menurutnya, tong gas yang dibawa suspek tidak mempunyai lesen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Kesemua tong gas berkenaan disorok di bahagian atas dek bot bagi menyukarkan pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

"Turut ditahan seramai tujuh lelaki warga Vietnam berusia dalam lingkungan 27 hingga 52 tahun bagi membantu siasatan.

"Sebuah bot yang dianggarkan bernilai RM300,000 turut ditahan di Pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM303,500.

Mohamad Pajeri berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal menunjukkan permit/lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan.

  • oleh
  • Advertisement