Anda di sini

Papar bakal jadi pengeluar musang king organik

Advertisement
SHAHRIL (tengah) bersama Aidi (kiri) menunjukkan bibit pokok durian musang king yang ditanam di Kg Kelatuan.
SHAHRIL (tengah) bersama Aidi (kiri) menunjukkan bibit pokok durian musang king yang ditanam di Kg Kelatuan.

PAPAR: Tanah seluas 8 hektar di Kampung Kelatuan, di sini bakal diusahakan dengan tanaman pokok durian musang king sekali gus menjadikan daerah ini antara pengeluar 'raja buah' yang organik dan mesra alam.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar berkata Papar bakal menjadi pengeluar utama bagi durian musang king yang bebas daripada penggunaan baja kimia.

Katanya, sebanyak 400 bibit pokok durian musang king yang dibawa oleh syarikat NWC Sdn Bhd akan ditanam di Kampung Kelatuan dengan membabitkan kawasan seluas 8 hektar.

"Saya yakin penggunaan teknologi dan baja yang mesra alam ini bukan sahaja selamat untuk para penggemar raja buah tetapi juga baik untuk alam sekitar untuk jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan gimik perasmian penanaman pokok durian musang king, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Urusan NWC Shahril Azmir Shariff ketika ditemui memberitahu, beliau memilih untuk menanam pokok durian musang king di kampung itu kerana lokasinya yang agak strategik iaitu berdekatan dengan ibu kota.

Selain itu, faktor tanah di Kampung Kelatuan juga antara sebab mengapa beliau memilih untuk menanam secara besar-besaran durian musang king berikutan keadaan tanahnya yang subur.

Katanya, dalam tempoh empat hingga lima tahun ini, pokok durian musang king yang dibawa oleh beliau untuk ditanam di Kampung Kelatuan akan membuahkan hasil yang lebih cepat berbanding bibit durian musang king yang lain.

Selain pertanian, Shahril memberitahu pihaknya turut bercadang untuk mendirikan beberapa 'homestay' di ladang durian musang king itu sendiri sebagai salah satu destinasi pelancongan.

"Sebagai permulaan kita akan menanam pokok durian musang king dan kemudian wujudkan homestay di sini bagi memberi pengalaman baharu kepada penggemar raja buah ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Aidi yang juga Adun Pantai Manis menyeru kepada masyarakat di daerah ini yang mempunyai tanah terbiar untuk mengusahakannya dengan tanaman durian musang king.

Katanya, berikutan permintaan terhadap raja buah itu semakin meningkat, masyarakat di Papar harus merebut peluang berkenaan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan melalui permintaan pasaran tempatan.

  • oleh
  • Advertisement