Anda di sini

'Laluan tikus' dikenal pasti sejak RCP Sapi Nangoh diwujudkan

Advertisement
 Anggota ESSCom melakukan kawalan dan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya di RCP Sapi Nangoh hari ini. - Gambar Bernama
Anggota ESSCom melakukan kawalan dan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya di RCP Sapi Nangoh hari ini. - Gambar Bernama

BELURAN: Beberapa ‘laluan tikus’ atau laluan tidak sah dikesan sejak Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh diwujudkan di sini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali berkata Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA Beluran) telah menggerakkan pegawai dan anggota untuk mengesan laluan tikus di kawasan itu khususnya di ladang kelapa sawit.

“Saya ingin mengingatkan masyarakat bahawa tindakan akan diambil jika terdapat pihak yang membuka laluan tikus, termasuk yang menembusi ladang kelapa sawit.

“Saya juga menggesa pihak pengusaha ladang (kelapa sawit) supaya tidak membenarkan laluan tikus dibuka di kawasan ladang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kepolisan Komuniti di RCP Sapi Nangoh di sini hari ini.

Hazani berkata RCP Sapi Nangoh merupakan RCP kedua diwujudkan selepas di Kalabakan yang menghubungkan pantai timur Sabah melalui Tawau ke pedalaman Sabah.

“Kita sudah ada pengalaman di RCP Kalabakan. Apabila RCP Kalabakan diwujudkan, wujudnya laluan tikus yang banyak,” katanya.

Beliau berkata ESSCom akan menempatkan kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi (ATV) masing-masing dua buah di RCP Kalabakan dan Sapi Nangoh bagi memperhebatkan operasi mengesan laluan tikus.

Di samping itu, beliau juga berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk menempatkan khidmat anjing pengesan di RCP Sapi Nangoh seperti di RCP Kalabakan, yang menggunakan khidmat itu sejak bulan lepas, bagi mengesan penyeludupan barang terlarang seperti bahan letupan dan dadah.

Hazani berkata seorang pegawai dan 32 anggota daripada Batalion 20 PGA ditempatkan di RCP Sapi Nangoh, yang beroperasi selama 24 jam sejak 6 Mac lepas.

Pelaksanaan RCP itu bagi menyekat kemasukan elemen jenayah, termasuk elemen pengganas, penyeludupan barang dan pendatang asing tanpa izin di daratan, yang menggunakan Sandakan sebagai transit untuk ke daerah lain menggunakan laluan utama pantai timur ke barat Sabah.

Sejak pembukaan RCP Sapi Nangoh itu, Hazani berkata polis telah memeriksa lapan bas dan menahan 297 orang tanpa dokumen pengenalan diri. - Bernama 

Advertisement