Anda di sini

Jawatankuasa bencana hadapi musim kemarau ditubuhkan

Advertisement
SALAHUDIN melihat beras yang turut dijual di pusat pengumpulan PPK Kalabakan.
SALAHUDIN melihat beras yang turut dijual di pusat pengumpulan PPK Kalabakan.

TAWAU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas bencana untuk menghadapi musim kemarau panjang di negara ini.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata kementeriannya sudah bersedia dan akan mengumumkan pelan kontigensi sekiranya musim kemarau terus berpanjangan.

“Kita sudah bersedia dan melakukan persediaan termasuk merangka bentuk bantuan kepada golongan nelayan (pelan kontigensi) yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan, Merotai, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, kementeriannya juga sudah memaklumkan perkara itu kepada seluruh negeri supaya bersedia untuk menghadapi kemungkinan bencana alam terbabit.

“Minggu lepas kita ke Besut dan membuat pelbagai usaha termasuk mengumpulkan pam air dan menggali tanah untuk menyelamatkan tanaman padi,” katanya.

Menyentuh PPK Kalabakan pula, Salahuddin memuji keberhasilan pertubuhan itu di dalam menjalankan pengurusan yang baik dan cekap dalam meningkatkan pendapatannya.

Beliau juga mahu memastikan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (KPIMS) berkaitan urus tadbir birokrasi diselesaikan dengan baik.

“Kita mahu memastikan supaya birokrasi yang ada tidak melengahkan sebarang peruntukan dari pusat atau negeri untuk disampaikan kepada PPK,” katanya.

Beliau turut menyambut baik pengumuman Pembantu Menteri KPIMS untuk menanam durian musang king di 5,000 ekar tanah di Kalabakan.

Malah, beliau sendiri mahu memastikan keberhasilan pembekalan variasi benih musang king yang dapat ditanam di dalam projek itu supaya dapat memacu ekonomi.

“Seperti kita sedia ketahui, durian ini mendapat maklum balas cukup baik khususnya di Tanah Besar China,” katanya yang optimis dengan masa hadapan projek itu.

  • oleh
  • Advertisement