Anda di sini

Polis ada petunjuk suspek terlibat pencemaran Sg Kim Kim

Advertisement
Mohamad Fuzi (kanan) melihat peta lokasi pencemaran Sungai Kim Kim yang ditunjukkan oleh Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd hari ini - Gambar Bernama
Mohamad Fuzi (kanan) melihat peta lokasi pencemaran Sungai Kim Kim yang ditunjukkan oleh Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd hari ini - Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan pihaknya sudah mempunyai beberapa ‘petunjuk’ berhubung suspek yang terlibat dengan kes pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Menurut beliau, usaha untuk mengesan dan menjejaki suspek itu sedang giat dijalankan, melibatkan kerjasama antara polis Bukit Aman dan juga polis Johor.

“Usaha untuk mengesan suspek terlibat sedang diperhebatkan ketika ini. Jadi, saya harap orang ramai mesti memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal dari aspek keselamatan.

"...harap patuh kepada sekatan jalan raya yang dibuat. Ada sembilan tempat (sekatan jalan raya) saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor sebentar tadi,” katanya dalam sidang media selepas melawat mangsa-mangsa kejadian yang dirawat di Pangkalan Perubatan, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata bagi meningkatkan aspek keselamatan di kawasan perumahan yang ditinggalkan sementara oleh penduduk susulan kejadian, pihaknya telah menempatkan tiga platun atau 150 anggota untuk berkawal.            

“Penempatan (anggota)  itu bertujuan untuk memastikan tiada kecurian berlaku ke atas rumah-rumah mangsa yang telah ditinggalkan.

Selain itu, kita juga tidak membenarkan lori-lori masuk ke kawasan bencana (pencemaran) kerana tidak mahu kejadian sama, berulang,” katanya.

Mohamad Fuzi juga memberitahu setakat ini, sebanyak 76 laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu. - Bernama 

Advertisement