Anda di sini

Dalang rompakan barangan kemas Hatton Garden dicekup

Advertisement
 Lubang yang digerudi perompak menerusi peti bilik kebal konkrit semasa rompakan Hatton Garden di London, Britain kelihatan dalam gambar serahan tanpa tarikh ini yang diberikan kepada Reuters oleh Polis Metropolitan pada 14 Januari 2016. — Gambar Reuters
LICIK: Lubang yang digerudi perompak menerusi peti bilik kebal konkrit semasa rompakan Hatton Garden di London, Britain kelihatan dalam gambar serahan tanpa tarikh ini yang diberikan kepada Reuters oleh Polis Metropolitan pada 14 Januari 2016. — Gambar Reuters

LONDON: Seorang hakim pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun ke atas ketua geng rompakan di sebalik salah satu rompakan terbesar dalam sejarah England, selepas ketempangannya yang pelik membantu mensabitkannya.

Michael Seed, 58, yang dikenali sebagai ‘Basil’ oleh anggota lain dalam kumpulan jenayah enam anggota yang semakin berusia, didapati bersalah awal Jumaat sebagai dalang rompakan barangan kemas Hatton Garden pada 2015 dalam daerah berlian di ibu negara.

Ia melarikan emas, barangan kemas dan batu permata yang bernilai 13.7 juta pound (RM82.2 juta).

Pakar penggera itu mengelak tangkapan selama tiga tahun selepas rompakan yang berani itu, di mana geng terbabit menggunakan penggerudi industri bermata berlian untuk mengerudi tembok peti konkrit pada cuti hujung minggu yang panjang.

Lima anggota lain dalam kumpulan itu dipenjara selama enam hingga tujuh tahun pada 2016.

Dua lelaki tersebut dalam lingkungan usia 70-an dan sejak itu seorang sudah meninggal dunia dalam penjara.

Seed pada akhirnya ditangkap di pangsapurinya di utara London pada Mac tahun lepas.

Polis menjumpai 933 barangan kemas yang dicuri dalam rompakan berkenaan, termasuk jongkong emas yang dia pecah di atas bangku kerja di dalam bilik tidurnya.

Selain mesin peleburan, polis juga menjumpai buku panduan teknikal penggera perompak dan penyekat isyarat bagi penggera.

“Peranan anda amat penting sekali,” kata Hakim Christopher Kinch ketika beliau menjatuhkan hukuman selama sedekad itu.

“Menurut penghakiman saya, ini semestinya ditaraf antara kesalahan terburuk seumpamanya.”

Sewaktu perbicaraan Seed, ahli juri mendengar daripada seorang pakar gaya berjalan bahawa ketempangannya yang “pelik” mirip cara ‘Basil’ berjalan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika rompakan berlaku.

Lelaki dalam rakaman itu tidak dapat dicam kerana dia memakai rambut palsu warna perang kemerah-merahan dan muka yang ditutup sebagai penyamaran.

Seed yang mahkamah dengar tidak membayar cukai, tidak menuntut sebarang faedah dan jarang sekali menggunakan akaun bank mendakwa dia adalah seorang jauhari amatur yang menjumpai barang yang dicuri itu.

Namun juri mendapati dia bersalah atas tuduhan berkonspirasi untuk merompak dan mengubah hasil daripada jenayah itu.

“Pendakwa kami dapat menggunakan semua bukti untuk membuktikan dia bukan sahaja terbabit tetapi juga salah seorang dalang,” kata Kate Mulholland dari jabatan pendakwaan kerajaan England.

“Dia adalah satu-satunya anggota kumpulan itu dengan pengetahuan teknikal untuk menewaskan sistem penggera yang rumit.”

Sambil memakai jaket penglihatan tinggi, geng Hatten Garden menggeledah 73 peti simpanan keselamatan pada April 2015 di tengah daerah barangan kemas di London.

Jabatan Pendakwaan Diraja berkata rompakan itu “dipercayai salah satu rompakan terbesar dalam sejarah England”.

Sejak itu rompakan yang berani itu telah mengilhamkan beberapa filem, termasuk ‘King of Thieves’ yang dibintangi Michael Caine pada tahun lepas.

Sebelum Seed, sembilan orang telah disabit bersalah dan dipenjara bagi jenayah yang ada kaitan dengan rompakan itu, dengan hukuman penjara 18 bulan hingga tujuh tahun. — AFP

Advertisement