Anda di sini

SEDC dan JCORP jalin kerjasama teroka sektor pertanian, ternakan dan makanan

Advertisement
Abdul Aziz dan Kamaruzzaman (dua kanan) menyaksikan Abdul Hadi (kiri) bertukar MoU dengan Sahir (kanan) pada majlis menandatangani MoU antara SEDC dengan JCORP di Kuching malam tadi.
Abdul Aziz dan Kamaruzzaman (dua kanan) menyaksikan Abdul Hadi (kiri) bertukar MoU dengan Sahir (kanan) pada majlis menandatangani MoU antara SEDC dengan JCORP di Kuching malam tadi.

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Johor Corporation (JCORP) untuk bekerjasama meneroka sektor agro-perniagaan, ternakan haiwan serta industri pengeluaran makanan.

Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata usaha itu selari dengan beberapa tindakan strategi kerajaan negeri untuk memastikan Sarawak mencapai matlamat menjadi pengeksport makanan utama di Malaysia menjelang 2030.

Menurutnya, SEDC telah lama melibatkan diri dalam industri ternakan haiwan termasuk ternakan lembu daging, ayam daging dan telur yang mendapat sambutan terutama masyarakat Bumiputera di negeri ini.

“Ladang ternakan lembu kami berpusat di Australia dan SEDC memiliki beberapa stesen ternakan di bawah pengurusan anak syarikat iaitu Rosewood Station Pte Ltd yang telah pun memenangi beberapa anugerah.

“Malah, kami  turut mendapat permintaan tinggi untuk bekalan daging ayam dan lembu yang telah diproses, namun kapasiti bekalan masih kurang berbanding dengan kadar permintaan yang ada di pasaran.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan lagi bidang perniagaan ini dengan keyakinan bahawa hasil yang diperoleh dijangka akan lebih lumayan melalui konsep program ayam yang bersepadu dengan rakan usahasama kami yang baru ini,” katanya pada majlis Menandatangani MoU antara SEDC dengan JCORP di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Beliau difahamkan JCORP juga terlibat secara besar-besaran dalam bidang pertanian.

“Amat besar harapan kami sekiranya SEDC dan JCORP boleh mengkaji perniagaan secara usahasama dalam bidang ini khususnya perladangan nanas atau buah-buahan lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Eksekutif JCORP Dato’ Kamaruzzaman Abu Kasim berkata, menerusi MoU itu, JCORP dan SEDC akan berkongsi kepakaran dan sumber bersama selain meneroka peluang-peluang perniagaan yang memberikan manfaat dan nilai tambah kepada kedua-dua pihak. 

Katanya, kerjasama strategik itu juga akan menyentuh berkaitan pembangunan usahawan, bidang-bidang pengurusan dan perkhidmatan serta perkara berkaitan perniagaan agro pertanian dengan lebih meluas.

“Ini adalah selaras dengan usaha kami bersama untuk menggembleng sumber, modal, bidang dan kepakaran yang pastinya memberi impak serta manfaat kepada negara,” katanya.

MoU itu ditandangani oleh Pengurus Besar SEDC, Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir dan Naib Presiden Divisyen Pembangunan Bisnes, JCORP, Mohd Sahir Rahmat.

  • oleh
  • Advertisement