Anda di sini

Misi serampang dua mata Abdul Latiff Suhaimi

Advertisement
 Skuad kebangsaan negara kini giat melakukan sesi latihan bagi menghadapi kejohanan Piala Airmarine yang akan berlangsung pada 20 hingga 23 Mac ini di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
FOKUS: Skuad kebangsaan negara kini giat melakukan sesi latihan bagi menghadapi kejohanan Piala Airmarine yang akan berlangsung pada 20 hingga 23 Mac ini di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Selangor, Abdul Latiff Suhaimi mempunyai misi serampang dua mata selepas dipanggil semula untuk menyarung jersi skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan Piala Airmarine 2019 bermula Rabu depan.

Pemain kelahiran Kelantan berusia 28 tahun itu yang kali terakhir membuat penampilan bersama skuad Harimau Malaya pada 2016 berazam untuk tidak sekadar memanaskan bangku simpanan, sebaliknya mahu membantu pasukan kebangsaan muncul juara.

“Kalau diberikan peluang bermain, saya akan berikan yang terbaik untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan cuba kekal dalam skuad kebangsaan.

“Saya juga mempunyai misi untuk membantu Malaysia muncul juara sulung Piala Airmarine kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam.

Beliau yang sebelum ini pernah membantu Felda United mara ke pentas final Piala Malaysia 2014 tidak menolak kemungkinan perubahan posisi beliau mendorong ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menyenaraikannya.

“Sebelum ini saya lebih bermain di posisi tengah dan sekarang saya di bahagian pertahanan, jadi mungkin disebabkan perubahan itu jurulatih dapat melihat keperluan saya dalam skuad ini,” tambahnya.

Sementara itu, Abdul Halim Saari, 25, yang pertama kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan berasa teruja, dan enggan mensia-siakan peluang disifatkannya datang sekali seumur hidup.

“Sangat teruja dengan panggilan ini sebab ia pertama kali untuk skuad kebangsaan. Saya dikelilingi pemain terbaik dalam Malaysia jadi saya pun akan berikan yang terbaik untuk membantu negara,” katanya.

Piala Airmarine 2019 yang merupakan kejohanan empat penjuru melibatkan Malaysia, Singapura, Afghanistan dan Oman, akan berlangsung dari 20 hingga 23 Mac ini, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada aksi separuh akhir yang merupakan perlawanan pembukaan kejohanan, Malaysia diundi bertemu Singapura sementara Afghanistan berdepan Oman.— Bernama

Advertisement