Anda di sini

Lapan ditembak mati di sekolah tinggi Brazil

Advertisement
 Anggota polis kelihatan di sekolah Raul Brasil selepas satu serangan tembakan di Suzano, negeri Sao Paulo, Brazil pada Rabu. — Gambar Reuters
BERJAGA-JAGA: Anggota polis kelihatan di sekolah Raul Brasil selepas satu serangan tembakan di Suzano, negeri Sao Paulo, Brazil pada Rabu. — Gambar Reuters

SAO PAULO: Dua bekas pelajar menembak mati lapan orang, kebanyakan mereka pelajar dan kakitangan, di sebuah sekolah tinggi dekat Sao Paulo, Brazil, pada Rabu sebelum mereka membunuh diri sendiri.

Dua penyerang itu me-masuki pekarangan sekolah pada awal pagi, bersenjatakan sepucuk pistol kaliber .38 dan satu “senjata purba yang kelihatan seperti busur dan panah”, kata Kolonel Marcelo Sales dari pasukan polis tentera.

Selepas menembak pelajar di pekarangan, pembunuh terbabit menuju ke pusat bahasa di mana beberapa pelajar bersembunyi dan “membunuh diri sendiri di sebuah koridor”, katanya.

Brazil merupakan salah sebuah negara paling ganas di dunia, dan mangsa dalam kes ini adalah lima pelajar berusia antara 15 hingga 17 tahun, dua pegawai sekolah berusia 38 dan 59 tahun, dan seorang pemilik kedai cuci kereta berusia 51 tahun yang ditembak oleh penyerang itu sebelum mereka tiba di sekolah, kata Setiausaha Ke-selamatan Awam di Sao Paulo, Joao Pires de Campos.

Sebelas orang lagi cedera dalam serangan itu di sekolah awam Raul Brasil di Suzano, di pinggir Sao Paulo, tenggara Brazil.

“Ia adalah perkara paling menyedihkan pernah saya lihat,” kata Gabenor Negeri Sao Paulo, Joao Doria.

Penduduk yang bersedih kemudian mengadakan sembahyang misa di jalanan dekat sekolah, di mana bunga dan lilin memperingati mangsa yang terkorban.

Presiden Jair Bolsonaro menyuarakan simpatinya dalam Twitter kepada “keluarga yang menjadi mangsa serangan tidak berperikemanusiaan ini”, dan menyifatkannya sebagai “satu ke-kejaman yang besar dan amat pengecut”.

Dua penyerang terbabit, yang memakai baju menutup kepala, dikenali sebagai bekas pelajar berusia 17 dan 25 tahun. Sebab bagi serangan itu tidak diketahui.

Anggota keluarga yang bimbang tiba dengan cepat di sekolah bersama anggota bomba dan anggota keselamatan.

“Saya tahu apabila anak pe-rempuan saya menelefon saya dan berkata: ‘Mak, datang cepat, ada orang cedera, orang mati’,” kata ibu seorang pelajar, yang memperkenalkan diri hanya sebagai Rosa.

Serangan berlangsung sekitar jam 9.30 pagi (waktu tempatan) pada waktu rehat bagi sebahagian pelajar, kata pihak berkuasa.

Laman sesawang UO1 berkata dua pembunuh itu “memasuki sekolah dan me-nembak dengan kepala mereka yang ditutupi hud”.

Sebuah lagi laman sesawang, G1, menerbitkan video kabur yang dikatakan diambil di dalam sekolah di mana jeritan pelajar yang ketakutan dapat didengari apabila mereka menemui mayat rakan sekelas.

“Kami mengunci diri di dalam sebuah bilik kelas,” kata Milene Querren Cardoso.

“Kami cuba membantu satu sama lain sehingga pintu dibuka dan kami sangka ia adalah penjenayah yang datang untuk kami; tetapi tidak, ia adalah polis, dan kami lari keluar.”

GloboNews menunjukkan video pelajar yang lari dari tempat kejadian selepas menaiki tembok.

Menteri Pendidikan Ricardo Velez menerbitkan satu kenyataan untuk menawarkan “solidariti dengan ibu bapa, keluarga dan kakitangan di sekolah berkenaan pada waktu kejutan, kesedihan dan ke-peritan ini”.

Brazil mencatatkan 64,000 pembunuhan pada 2017 – kadar yang hampir 31 bagi setiap 100,000 penduduk, atau tiga kali lebih tinggi daripada tahap yang diklasifikasikan sebagai keganasan endemik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bolsonaro, pemimpin halu-an kanan jauh, meluluskan rang undang-undang yang kontroversi untuk melonggarkan peraturan pemilikan senjata api sejurus selepas beliau memegang kuasa pada Januari lalu, untuk menunai-kan janji kempen.

Beliau juga telah menyuara-kan sokongan kepada undang-undang yang membenarkan orang untuk membawa senjata di tengah bandar.

Gleisi Hoffmann, presiden pembangkang dari Parti Pekerja, berkata: “Tragedi seperti ini adalah hasil daripada tindakan menggalakkan keganasan dan li-beralisasi dalam penggunaan senjata.” — AFP

Advertisement