Anda di sini

30 motosikal berkuasa tinggi menggegar Pan Borneo

Advertisement
 Abang Johari bersama sebahagian daripada peserta ‘Borneo Adventure Rally 2019’ sebelum mereka memulakan penjelajahan semalam. Turut kelihatan Sia (belakang, dua kanan). — Gambar Chimon Upon
LAUNGAN SEMANGAT: Abang Johari bersama sebahagian daripada peserta ‘Borneo Adventure Rally 2019’ sebelum mereka memulakan penjelajahan semalam. Turut kelihatan Sia (belakang, dua kanan). — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Lebuh Raya Pan Borneo digegarkan dengan deruman kira-kira 30 motosikal berkuasa tinggi yang memulakan jelajah ke Borneo selama 10 hari bermula semalam.

Peserta dari Jerman, Belgium, Taiwan dan Semenanjung Malaysia dipimpin FS Adventure Malaysia, sebuah syarikat pelancongan motosikal Malaysia.

Sementara itu Pin Sing Travel & Tours Sdn Bhd, sebuah syarikat pelancongan tempatan menjadi penyedia serta rakan kongsi khidmat profesional serta logistik untuk pengembaraan kali ini yang melibatkan jarak perjalanan hampir 3,000 kilometer (km) termasuk beberapa tunggangan di laluan mencabar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang juga penggemar motosikal berkuasa tinggi hadir memberi semangat sekali gus melepaskan para peserta bagi memulakan hari pertama pengembaraan mereka.

Majlis ringkas tetapi penuh bermakna itu berlangsung di pekarangan Magenta Restaurant di Tebingan Kuching selepas Abang Johari meluangkan masa bersarapan dengan para peserta.

Abang Johari dalam ucapan ringkasnya berkata, selain Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Pesisir Pantai turut menjanjikan pengalaman pengembaraan menarik khususnya kepada penunggang motosikal berkuasa tinggi yang inginkan cabaran.

“Minggu lepas saya mengembara di Lawas, pekan yang amat terpencil di utara Sarawak.

“Walaupun tidak menggunakan motosikal berkuasa tinggi, Ia bukan sahaja menjanjikan pemandangan indah tetapi cabaran tersendiri dengan keadaan jalan yang belum begitu baik.

“Oleh itu, jadikan pengembaraan ini sesuatu yang indah dan memberi kepuasan tersendiri kepada anda semua sebagai penggemar motosikal berkuasa tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pin Sing Travel & Tours Sdn Bhd Sia Sung Leong yang turut menyertai kembara itu berkata, peserta ‘Borneo Adventure Rallye 2019’ akan mengenali Sarawak pada separuh pertama penjelajahan mereka.

“Saya percaya para peserta akan melihat dan menikmati kepelbagaian budaya, makanan dan alam sekitar di sepanjang laluan jelajah ini.

“Kami akan berhenti di Sibu, Miri dan berehat di Merarap Hot Springs Lodge di Lawas sebelum menamatkan penjelajahan kami di utara Borneo,” katanya.

Penjelajahan ‘Borneo Adventure Rallye 2019’ dipimpin oleh Penunggang dan Trophy Marshal BMW GS Faizal Sukree yang juga pengajar dan pemandu pelancong antarabangsa bertauliah BMW Motorrad.

  • oleh
  • Advertisement