Anda di sini

Parlimen Britain tolak usul Brexit buat kali kedua

Advertisement
 Penyokong anti-Brexit menunjukkan reaksi selepas undian Brexit di luar parlimen di London, Britain pada Selasa. — Gambar Reuters
CERIA: Penyokong anti-Brexit menunjukkan reaksi selepas undian Brexit di luar parlimen di London, Britain pada Selasa. — Gambar Reuters

LONDON: Ahli Parlimen Britain dengan jelas menolak buat kali kedua usul perjanjian Brexit yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Theresa May pada Selasa, untuk menimbulkan suasana yang semakin tidak menentu di negara itu hanya 17 hari sebelum ia dijadual berpisah daripada Kesatuan Eropah (EU).

Dewan Rakyat mengundi 391-242 untuk menentang perjanjian perceraian itu, walaupun selepas May mendapatkan jaminan tambahan daripada Brussels berhubung elemen-elemennya yang pa-ling kontroversi.

Tindakan itu berisiko mencetuskan huru-hara ekonomi, ketika Britain dijadual menamatkan hubungannya de-ngan rakan dagangannya yang terbesar selepas 46 tahun pada 29 Mac, tidak kira apa pun yang berlaku.

May, yang muncul di hadapan ahli parlimen dengan suara yang separuh pecah disebabkan oleh selesema, dengan ingkar berikrar untuk terus berjuang, dan berkata beliau menolak “sekeras-kerasnya” keputusan itu.

“Perjanjian yang kita run-dingkan adalah yang terbaik dan sesungguhnya satu-satu-nya perjanjian,” katanya kepada dewan yang senyap beberapa minit selepas undian.

May berjanji untuk mem-benarkan ahli parlimen meng-undi mengenai pilihan “tiada perjanjian” pada Rabu dan, jika itu ditolak seperti yang dijangkakan, untuk memutuskan pada Khamis sama ada untuk meminta EU menangguhkan Brexit ataupun tidak.

Beliau berkata parlimen berdepan dengan “pilihan yang tidak dicemburui” jika ia mengundi untuk lanjutan, termasuk membatalkan Brexit, mengadakan referendum kedua atau berpisah dengan satu lagi perjanjian.

Bagaimanapun golongan euroseptik percaya perjanjian sedia ada begitu teruk sekali sehinggakan risiko untuk meninggalkan Eropah tanpa sebarang rancangan adalah berbaloi.

Undian terbaharu diadakan dua tahun selepas Britain menetapkan tempoh bagi pemisahannya daripada EU ekoran referendum yang amat memecah-belah rakyat pada 2016.

Ketua perunding Brexit bagi EU, Michel Barnier, berkata Brussels tidak ada apa-apa lagi untuk ditawarkan dan sekarang mesti bersiap sedia bagi kemungkinan berlakunya perceraian yang kelam-kabut.

“EU sudah melakukan se-galanya yang termampu untuk membantu membawa Perjanji-an Pengunduran ke garisan penamat,” tweet Barnier.

“Kebuntuan ini hanya dapat diselesaikan di #UK. Persiapan ‘tiada perjanjian’ kami sekarang lebih penting berbanding selama ini.”

Namun seorang jurucakap bagi ketua Suruhanjaya Ero-pah Jean-Claude Juncker berkata negara anggota EU akan menimbang “permintaan munasabah” untuk penangguhan Brexit.

Menteri luar Jerman pada Selasa berkata ia semakin berkemungkinan bahawa Britain akan keluar dari blok tanpa sebarang perjanjian, dan menuduh negara itu “berjudi secara cuai dengan kesejah-teraan warga dan ekonomi”.

“Malangnya, saya hanya dapat menyatakan buat masa sekarang bahawa Jerman sudah bersiap sedia untuk semua kes terburuk dengan sebaik mungkin,” kata Heiko Maas. — AFP

Advertisement