Anda di sini

Ketua pembangkang Venezuela umum demonstrasi besar-besaran baharu

Advertisement
 Guaido (depan) menunjukkan reaksi sewaktu sidang Dewan Negara di Caracas, Venezuela pada Isnin. — Gambar Reuters
GIGIH: Guaido (depan) menunjukkan reaksi sewaktu sidang Dewan Negara di Caracas, Venezuela pada Isnin. — Gambar Reuters

CARACAS: Ketua pembangkang di Venezuela, Juan Guaido, pada Isnin meng-umumkan demonstrasi besar-besaran baharu manakala kejadian putus bekalan elek-trik yang menjejaskan jutaan penduduk memasuki hari kelima, dan Amerika Syarikat (AS) berkata ia memanggil pulang baki kakitangan diplomatiknya dari Caracas.

Sementara itu Presiden Ni-colas Maduro menyeru kepada kumpulan akar umbi untuk bertindak balas terhadap apa yang beliau sebut sebagai serangan yang digalakkan oleh AS ke atas grid elektrik negara.

“Masanya sudah tiba untuk tentangan yang aktif,” katanya dalam satu ucapan.

Guaido, dalam ucapan kepada Dewan Negara yang beliau pimpin, berkata “esok pada jam 3 petang, seluruh Venezuela akan berada di lebuh raya” untuk menunjuk perasaan terhadap Maduro.

Parlimen menerima permohonan pemimpin berusia 35 tahun itu untuk mengisytiharkan “keadaan cemas” bagi membuka laluan untuk penghantaran bantuan antarabangsa, 250 tan daripadanya tersangkut selama sebulan di sempadan Venezuela dengan Colombia dan Brazil.

Walau bagaimanapun Guaido dan dewan perundangan yang dikuasai pembangkang tidak ada kaedah untuk menguat-kuasakannya, kerana Maduro mengawal tentera dan badan keselamatan, yang buat masa sekarang menghalang bantuan dari memasuki negara.

Guaido, yang diiktiraf sebagai presiden sementara Venezuela oleh lebih 50 negara, menyeru kepada tentera dan badan keselamatan untuk “menahan diri daripada menghalang atau menghambat” tunjuk perasaan pada Selasa.

Sambil menggambarkan situasi itu sebagai satu “malapetaka”, beliau berkata kejadian putus bekalan elektrik itu – yang terburuk dalam sejarah negara Amerika Latin itu – telah meragut puluhan nyawa sejak ia bermula Khamis lepas.

Tenaga dipulihkan ke beberapa kawasan di negara itu pada hujung minggu lepas tetapi – dengan penduduk dan premis perniagaan yang khuatir bahawa makanan sejuk akan rosak – khidmat tidak menentu dan tenaga selalunya bertahan selama beberapa jam sahaja sebelum ia terputus semula.

Tatkala situasi bertambah buruk, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo mengumumkan Washington memanggil pulang semua baki kakitangannya dari kedutaan AS di Caracas. Semua kakitangan bukan darurat diarah me-ninggalkan negara itu pada 24 Januari lalu.

“Keputusan ini mencerminkan situasi yang semakin buruk di #Venezuela selain kesimpulan bahawa kehadiran kakitangan diplomatik AS di kedutaan telah menjadi keka-ngan ke atas dasar AS,” tulis Pompeo dalam Twitter.

Sidang tergempar Dewan Negara juga menjadi mangsa kejadian putus bekalan elek-trik apabila bekalan elektrik terputus sejam selepas persidangan bermula.

“Kita tidak dapat meng-elak tragedi ini yang sedang dialami negara kita,” kata Guaido, yang mengisytiharkan diri sebagai pemangku presiden pada Januari lalu, untuk mencetuskan perebutan kuasa dengan Maduro di negara Amerika Selatan yang kaya minyak dengan 30 juta penduduk itu.

Premis perniagaan dan sekolah masih ditutup atas arahan Maduro, seperti sejak kejadian putus bekalan elektrik bermula. Walau apa pun, ketiadaan pengangkutan awam menyulitkan perjalanan, termasuk di Caracas.

Maduro melanjutkan penutupan selama 24 jam lagi pada Isnin disebabkan oleh kejadian putus bekalan elektrik itu, kali kedua beliau berbuat demikian.

Dalam ucapannya pada malam Isnin, Maduro meminta penentangan daripada kumpulan yang dikenali sebagai “colectivos” – kumpulan kerja sosial akar umbi yang pembangkang dakwa turut dilengkapi senjata oleh kerajaan dan bertindak sebagai militia.

Pengkritik berkata kumpulan sedemikian mendalangi kematian tujuh orang pada 23 Februari lalu ketika pembangkang cuba dengan sia-sia untuk membawa makanan dan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh AS menyeberangi sempadan dengan Colombia dan Brazil.

Bebola api meletus menyala di langit gelap atas tenggara Caracas pada awal pagi apabila stesen tenaga Humbolt meletus dalam satu letupan besar-besaran, untuk memburukkan lagi huru-hara dalam sebuah kawasan di mana penjarahan dilaporkan pada Ahad.

Syarikat tenaga elektrik milik kerajaan Corpoelec enggan mengulas mengenai letupan itu.

Kebakaran yang menyusuli letupan itu masih membara pada sebelah pagi. Galang besi yang menopang salah satu transformer besar telah cair dan sebuah tembok dihitamkan, kata pemberita AFP.

Krisis tenaga itu mungkin menandakan masalah bagi sokongan Maduro daripada tentera, kata firma perun-dingan Eurasia Group.

Maduro telah mengarahkan hospital – di mana pesakit terlantar tanpa rawatan yang baik, dan di mana sekurang-kurangnya 15 orang dilaporkan meninggal dunia kerana tidak ada rawatan dialisis buah pinggang – harus diberikan keutamaan tertinggi.

Beliau mengaitkan kejadian putus bekalan elektrik itu dengan “sabotaj” AS dalam bentuk serangan elektromagnet ke atas kompleks hidroelektrik utama negara di Guri, yang membekalkan 80 peratus bekalan elektrik Venezuela.

Guaido menolak penjelasan itu sebagai “ala Hollywood”. Pengkritik menyalahkan kerajaan kerana gagal menyenggara grid elektrik tersebut, sama seperti Lima Group, sebuah blok Amerika Latin. — AFP

Advertisement