Anda di sini

Banjir akibat hujan lebat di Brazil ragut 12 nyawa

Advertisement
 Penduduk menempuh jalan raya yang ditenggelami air selepas hujan lebat dalam kawasan kejiranan Vila Prudente di Sao Paulo, Brazil pada Isnin. — Gambar Reuters
BANJIR: Penduduk menempuh jalan raya yang ditenggelami air selepas hujan lebat dalam kawasan kejiranan Vila Prudente di Sao Paulo, Brazil pada Isnin. — Gambar Reuters

SAO PAULO: Banjir yang disebabkan oleh hujan lebat di hab kewangan Brazil, Sao Paulo, dan sekitarnya mengorbankan 12 orang dan mencederakan enam lagi pada malam Ahad, kata anggota bomba pada Isnin.

Di bandar Riberao Pires yang terletak di pinggir bandar raya dengan penduduk paling ramai di negara itu, empat anggota sebuah keluarga maut dan dua lagi cedera apabila sebuah rumah runtuh sekitar waktu tengah malam.

Satu lagi kejadian tanah runtuh membunuh seorang individu di Embu das Artes, manakala tiga jiran lemas di Sao Caetano do Sul, seorang di Sao Paulo, dua di Santo Andre yang berdekatan dan seorang lagi di kota perindustrian Sao Bernardo do Campo, kata pihak berkuasa ketika mereka memberikan perangkaan terkini.

Anggota bomba terpaksa menyelamatkan beberapa orang yang terkandas disebabkan oleh air dan lumpur di Sao Paulo, ibu kota kewangan dan bandar raya terbesar di Brazil, dengan lebih 20 juta penduduk.

Hujan musim panas yang lewat itu menenggelami beberapa kawasan kejiranan dan menyekat jalan utama menuju ke metropolis yang luas dan besar itu, sekali gus memotong khidmat kereta api dan bas di beberapa kawasan.

Pasukan penyelamat terpaksa bergerak menggunakan kanu menerusi lebuh raya yang bertukar menjadi saluran air perang.

Banjir lumpur juga berlaku di beberapa bahagian di bandar raya itu, dan hujan lebat seterusnya diramalkan pada lewat Isnin.

Gabenor Joao Doria me-minta penduduk tidak keluar dari  rumah selama yang mungkin. — AFP

Advertisement