Anda di sini

Farah Ain cipta sejarah STPM 2018 Labuan

Advertisement
RAISIN (enam kiri) dan Ismail (lima kanan) bersama Farah Ain (enam kanan) serta 43 pelajar cemerlang STPM 2018.
RAISIN (enam kiri) dan Ismail (lima kanan) bersama Farah Ain (enam kanan) serta 43 pelajar cemerlang STPM 2018.

LABUAN: Farah Ain Nabilla Roslizar mencipta sejarah sebagai pelajar pertama Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang mencapai prestasi sempurna Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan STPM 2018.

Ia adalah pencapaian terbaik sejak STPM Modular dilaksanakan menggantikan STPM Terminal.

Farah Ain mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil iaitu Sejarah, Ekonomi, Pengajian Am dan Geografi.

Beliau kini menetap bersama keluarga di Kampung Sungai Labu di sini. Ayahnya Roslizar Mohd Zubir seorang pesara tentera dan ibunya Nuri Haji Ishak seorang suri rumah.

Anak bongsu daripada dua orang adik beradik ini bersekolah di SK Pangkalan TLDM Lumut Perak dan telah mencapai 4A 1B dalam UPSR.

Seterusnya, Farah Ain bersekolah di SMK Mutiara Labuan dan telah mencapai 8A 3C dalam PT3 serta 7A 2B dalam SPM.

Berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan dan bercita-cita menjadi seorang guru, dia merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam yang telah mendidiknya dengan penuh dedikasi.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa serta keluarga yang banyak memberi dorongan dan sokongan untuk mencapai kejayaan cemerlang.

“Tidak lupa kepada rakan-rakannya yang banyak membantu dan sentiasa bersamanya di kala susah dan senang. Kejayaan ini juga adalah kejayaan milik bersama,” katanya penuh bangga.

Seramai 43 orang daripada 138 pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan telah berjaya mencapai keputusan PNGK 3.00 hingga 4.00. Peratus lulus penuh juga meningkat daripada 97.50 peratus pada tahun 2017 kepada 98.55 peratus (iaitu 136/138) pada tahun 2018.

Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah menjangkakan peningkatan jumlah pelajar yang akan memasuki Tingkatan Enam tahun ini.

Katanya, walaupun menghadapi cabaran seperti infrastruktur dan bahan sumber pembelajaran yang agak sukar didapati di sini, para pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan sentiasa mencari alternatif untuk mengatasi cabaran-cabaran itu dan sentiasa komited untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang.

Beliau juga berharap jumlah pelajar yang layak melanjutlkan pelajaran ke IPT akan meningkat berbanding 75 orang pada tahun sebelumnya.

Pelajar yang kurang bernasib baik dari segi pencapaian akademik juga akan dibantu dari segi khidmat nasihat mengenai peluang-peluang yang boleh diceburi selepas ini berdasarkan potensi masing-masing kerana warga SMK Labuan sentiasa berpegang kepada slogan 'Setiap Murid Bernilai'.

“Terima kasih kepada semua pensyarah Tingkatan Enam yang berusaha gigih membantu calon STPM 2018. Tidak lupa kepada semua guru, PIBG dan ibu bapa serta komuniti yang turut membantu,” katanya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin mengumumkan keputusan STPM 2018 di Dewan Mutiara SMK Labuan pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Sawal Salleh, Ketua Penolong Pengarah BTPN Awang Marten Abd Rahman, Penolong Kanan Tingkatan Enam Saminan Sabtu dan Yang Dipertua PIBG SMK Labuan Haji Md Yusof Chuchu.

Advertisement