Anda di sini

FBM KLCI dijangka diniagakan rendah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka berada dalam aliran rendah ke arah paras 1,650 minggu ini susulan kelemahan semalaman di pasaran saham Amerika Syarikat (AS), kebimbangan akan kemajuan rundingan perdagangan AS-China, unjuran ekonomi negatif daripada Bank Pusat Eropah, petunjuk teknikal lemah dan penurunan ringgit.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata penjualan dalam ekuiti global kembali rancak berikutan ketidakpastian berhubung rundingan perdagangan AS-China dan kebimbangan yang tercetus daripada Bank Pusat Eropah terhadap pertumbuhan ekonomi global dan pakej rangsangan ekonominya yang baharu.

“Satu daripada petunjuk ekonomi klasik Wall Street -- Dow Jones Transportation Average -- baru-baru ini mencatatkan penurunan, menjadikan rentetan penurunannya yang paling lama dalam tempoh 10 tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, kelemahan teknikal KLCI dijangka diimbangi oleh data ekonomi tempatan yang positif.

Ini termasuk rizab pertukaran asing Bank Negara Malaysia yang mengekalkan aliran meningkat bagi tempoh bulan kedua berturut-turut meskipun kebimbangan terhadap perang perdagangan AS-China yang masih berterusan dan prospek kelembapan pertumbuhan global.

“Pada asasnya, kami menjangka sebarang penurunan ke arah paras 1,650 akan menarik lebih banyak belian saham murah apabila dana-dana utama mencari saham pada harga rendah.

“Pelabur asing mula melabur kembali di Malaysia dan petanda positif ini dipacu oleh peningkatan keyakinan pelabur apabila ketegangan politik negara telah kembali stabil sejak pilihan raya umum lepas.  

“Dalam tempoh dua bulan kita melihat peningkatan dalam aliran dana pasaran ekuiti dengan aliran masuk bersih berjumlah AS$40 juta berbanding aliran keluar AS$2.7 bilion pada 2018,” katanya.

Mohd Nazri melihat kecenderungan bulis dan aliran meningkat bulanan di atas paras sokongan 1,600 kekal kukuh bagi tempoh jangka panjang.

Paras sokongan FBMKLCI kekal pada 1,650 dam 1,630 manakala paras ketahanan pada 1,700 dan 1,720.

Beliau berkata bagi unjuran minggu ini, para pelabur disaran menjauhkan diri daripada sektor kitaran dan menumpukan kepada sektor momentum seperti saham tenaga dan sumber asas. Para pelabur seharusnya mengumpulkan kaunter minyak dan gas seperti Dayang, Carimin, Perdana dan Hibiscus.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 20.86 mata kepada 1,679.90.

Indeks FBM Emas berkurangan 58.89 mata kepada 11,739.23, Indeks FBMT 100 turun 73.47 mata kepada 11,590.48 tetapi Indeks FBM Emas Shariah meningkat 12.66 mata kepada 11,737.82.

FBM 70 susut 199.89 mata kepada 14,161.78 dan Indeks FBM Ace naik 40.07 mata kepada 4,690.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 237.07 mata kepada 17,492.39 dan Indeks Perladangan susut 9.80 mata kepada 7,264.14 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.89 mata kepada 169.26.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 14.55 bilion unit bernilai RM11.43 bilion daripada 12.92 bilion unit bernilai RM11.74 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 10.47 bilion saham bernilai RM10.53 bilion berbanding 8.90 bilion saham bernilai RM10.87 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.65 bilion unit bernilai RM577.32 juta berbanding 2.51 bilion unit bernilai RM533.22 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.42 bilion saham bernilai RM316 juta daripada 1.50 bilion saham bernilai RM338.35 juta. — Bernama

Advertisement