Anda di sini

J-kuasa kaji kanak-kanak bukan warganegara dapat suntikan vaksin

Advertisement
STEPHEN (kanan) meninjau proses suntikan vaksin kepada kanak-kanak di Kampung Mangkalinau.
STEPHEN (kanan) meninjau proses suntikan vaksin kepada kanak-kanak di Kampung Mangkalinau.

SANDAKAN: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat menerusi satu jawatankuasa yang ditubuh akan mengkaji kaedah untuk bagaimana memastikan setiap kanak-kanak di negeri ini termasuk bukan warganegara agar mendapat suntikan vaksin.

Menterinya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata langkah itu bagi memudahkan kanak-kanak warga asing untuk mendapat suntikan vaksin secara teratur berbanding keadaan semasa.

Dalam masa yang sama, katanya ia bagi melindungi kesihatan kanak-kanak secara keseluruhannya daripada jangkitan sebarang penyakit.

"Memang kanak-kanak tempatan mendapat suntikan vaksin sekaligus lebih dilindungi, tetapi kita perlu sedar yang mereka ini bergaul dengan ramai orang termasuk dengan kanak-kanak warga asing yang kebanyakannya tidak mendapat suntikan vaksin.

"Oleh itu, dengan memberi vaksin kepada semua kanak-kanak tanpa mengira sama ada warga tempatan atau tidak, ia adalah antara inisiatif untuk mencegah jangkitan penyakit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam Program Suntikan Vaksin anjuran Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia (Cawangan Sandakan) di Kampung Mangkalinau di sini.

Ketika ini, dianggarkan lebih kurang 200,000 kanak-kanak bukan warganegara tidak memperolehi suntikan vaksin.

Mengulas mengenai program itu, Stephen yang juga Ahli Parlimen Sandakan memuji usaha yang dilakukan yayasan berkenaan dalam memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak bukan warganegara secara percuma.

Program itu merupakan yang pertama seumpama diadakan di negeri ini dan kali ketiga dianjurkan di Kampung Mangkalinau.

Pemberian suntikan vaksin kali ini menyaksikan lebih 150 orang seusia kanak-anak hingga 17 tahun menerima suntikan vaksin MMR, DTaP, Hepatitis B dan Campak.

"Tzu Chi sememangnya maju setapak ke hadapan kerana mengambil inisiatif seumpama ini bagi memberi kesedaran kepada penduduk akan pentingnya suntikan vaksin sekaligus membantu mengatasi masalah penyakit.

"Kita berharap program ini akan diteruskan dan lebih banyak badan bukan kerajaan mengambil inisiatif yang sama," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement