Anda di sini

Siasatan barang rampasan 1MDB perlu dilengkapkan secepat mungkin

Advertisement
Mohamad Fuzi
Mohamad Fuzi

KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas barang-barang rampasan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dilengkapkan pada atau sebelum 16 Mei ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata ini kerana polis mempunyai tempoh sehingga 16 Mei ini untuk menyimpan barang-barang rampasan itu dan selepas tarikh itu, pihaknya perlu melalui proses tertentu termasuk cadangan daripada pihak mahkamah sebelum boleh meneruskan siasatan dan tindakan.

“Kami ambil maklum mengenai tempoh siasatan itu (barang rampasan 1MDB) dan ia perlu mematuhi proses mahkamah dan perlu melengkapkannya sebelum atau pada 16 Mei ini.

“Selepas daripada tarikh itu, sebarang cadangan akan melalui proses tertentu termasuk dari mahkamah,” katanya pada sidang media sempena majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini semalam.

Pada Mei tahun lepas, polis merampas beberapa barang dan dokumen dari unit kediaman di Pavilion Residence di sini yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada 27 Jun tahun lepas, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas yang dikaitkan dengan Najib  ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Ditanya mengenai perkembangan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB, Mohamad Fuzi berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa China, antaranya untuk memburu Jho Low dan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan itu.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai perbincangan itu, beliau berkata polis mempunyai pegawai-pegawai tertentu untuk menyiasat kes berkenaan.

“Ramai pihak yang mengatakan Jho Low berada di China tetapi kami sendiri pun tidak pasti kerana perbincangan masih berterusan,” katanya.

Pada 10 Jan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan tetap meneruskan usaha mencari ahli perniagaan terbabit walaupun sukar.

Jho Low, yang dikenal pasti oleh penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai watak utama dalam skandal berbilion dolar 1MDB dipercayai melarikan diri daripada ditahan di Hong Kong ke pulau berdekatan Macau. — Bernama

Advertisement