Anda di sini

Sandakan catat 395 kes denggi

Advertisement
STEPHEN (empat kanan) meninjau kerja semburan nyamuk di sekitar perumahan Taman Mesra.
STEPHEN (empat kanan) meninjau kerja semburan nyamuk di sekitar perumahan Taman Mesra.

SANDAKAN: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sandakan bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah mengadakan Program Gotong-royong Menghapuskan Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes di Taman Mesra, petang Ahad. 

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong yang merasmikan program itu menyeru seluruh rakyat terutama di daerah ini agar bekerjasama membersihkan kawasan kediaman masing-masing.

Beliau berkata, sehingga minggu EPID 9 iaitu Sabtu lalu (2 Mac), kes demam denggi di Sandakan adalah sebanyak 395 kes dengan 36 lokaliti aktif dan empat kematian.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Sandakan sebagai penyumbang utama kes denggi di Sabah bagi tahun 2019 setakat ini.

Beliau berkata, pelbagai jenis program dan aktiviti telah dilaksanakan bagi membendung penyakit itu seperti semburan kabus di kawasan perumahan.

Selain itu, pelbagai program pencegahan dan pendidikan juga diadakan di peringkat akar umbi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai. 

"Mengenai aspek perundangan, satu akta telah pun diwujudkan untuk mengawal dan mencegah penyakit demam denggi ini iaitu di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154)," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berdasarkan statistik, kejadian kes demam denggi di seluruh negara sehingga kini adalah 26,204 dengan 40 kematian.

Sementara negeri tertinggi yang menyumbang kepada jumlah itu adalah Selangor dengan jumlah kes sebanyak 15,117.

Turut hadir di program gotong-royong itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Elopura Calvin Chong, Timbalan Presiden MPS Haji Mohd Hamsan Awang Supain, Timbalan Pengarah Jabatan

Kesihatan Negeri Sabah Dr. Ismail Ali dan Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr Johari Awang Besar.
 

  • oleh
  • Advertisement