Anda di sini

Kilang kayu musnah terbakar

Advertisement
ANGGOTA bomba sedang memadam api dalam kebakaran itu.
ANGGOTA bomba sedang memadam api dalam kebakaran itu.

SANDAKAN: Sebuah kilang kayu menempatkan tiga syarikat perkayuan musnah dalam kebakaran di Taman Anggerik Jalan Lintas Sibuga, malam Rabu.

Empat lori yang diletakkan di kawasan kilang berkenaan turut musnah dalam kebakaran kira-kira jam 7 malam itu.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sandakan Anddre Andrew berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Sabah telah menerima panggilan kebakaran itu melalui MERS999 jam 7 malam.

“Dua jentera FRT, sebuah water tanker dan sebuah jentera EMRS bersama 13 anggota yang diketuai oleh PKPgB Jimmy Lagung telah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata pihaknya melaporkan telah berlaku kebakaran melibatkan kilang kayu menempatkan tiga syarikat perkayuan berkeluasan 300x100 kaki persegi yang menyimpan stok kayu.

“Lima lori dan sebuah kenderaan jenis Perodua turut terlibat dalam kebakaran itu,” katanya.

Namun, Anddre memberitahu hanya empat lori terbakar 100 peratus, manakala sebuah lori lagi dan kenderaan jenis Perodua hanya terkena bahang dan berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.

“Kita melakukan pemadaman dengan menggunakan empat aliran 400 kaki dengan empat pancutan. Sumber air digunakan bagi operasi pemadaman melalui pili bomba dan water tanker,” katanya.

Beliau berkata kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira jam 1.20 pagi tadi.

“Seterusnya, pasukan bomba melakukan kerja 'overhaul' untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum menamatkan operasi sepenuhnya jam 12.57 tengahari,” katanya.

Anddre berkata tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kebakaran terbabit.

Pihaknya masih menjalankan siasatan punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian itu.

  • oleh
  • Advertisement